Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Demo aman 15 minit sokong RUU Hadi di Masjid Negara

Sekumpulan orang ramai berkumpul di perkarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur selepas sembahyang Jumaat bagi menyatakan sokongan terhadap cadangan menambah bidang kuasa mahkamah syariah.

Menggelarkan diri mereka sebagai Umat Menyokong Memperkasa Akta Tiga Lima Lima (UMAT), kumpulan itu bagaimanapun hanya berkumpul di perkarangan masjid kira-kira 15 minit sahaja.

Mereka membawa kain rentang dan sepanduk menyokong rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (akta 355) yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di parlimen.

Acara itu diisi dengan laungan takbir selain pengedaran risalah kenapa orang ramai perlu menyokong rang undang-undang yang dicadang dibentangkan pada sesi parlimen Oktober depan.

Seorang anggota urus setia kumpulan itu memberitahu, UMAT selepas ini akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan tentang akta berkenaan.

"Dalam perancangan (untuk serah memorandum). Belum buat jadual terperinci lagi," katanya yang enggan mendedahkan identiti kepada media.

Antara pihak yang turut serta dalam himpunan itu termasuk aktivis terkenal Yusri Mohamad serta beberapa aktivis yang memakai baju Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Dinyatakan juga Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) menyokong RUU itu dalam sepanduk dipamer.

Kerajaan sebelum ini mencadangkan rang undang-undang itu dipercepat di parlimen.
Hadi bagaimanapun mohon ia ditanggungkan kepada sesi akan datang atas alasan kesuntukan masa untuk perbahasan.

Kerajaan dan PAS menafikan RUU itu sebagai hudud.

Bagaimanapun, bagi pengkritik, ia dilihat boleh membuka laluan kepada pelaksanaan undang-undang Islam itu di negeri-negeri.

Lihat Komen
ADS