Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Liow: Henti isu penjenamaan klia2, terima keputusan k'jaan
Diterbitkan:  Jun 24, 2016 4:59 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Ting Lai meminta perbalahan berkaitan isu penjenamaan semula Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dihentikan.

Sebaliknya, beliau menegaskan klia2 ialah nama berdaftar bagi lapangan terbang itu di bawah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Oleh itu, katanya klia2 tidak akan ditukarkan kepada Terminal Penerbangan Tambang Murah 2 (LCCT2) kerana ia melanggar undang-undang penerbangan antarabangsa.

"Nama klia2 sudah ditetapkan. Perkara ini tidak harus dipertikai. Ia bukannya suatu isu. AirAsia harus menerima keputusan kerajaan," kata Liow, yang juga Presiden MCA, selepas menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Persatuan Sinologi Malaysia di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini, AirAsia Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berbalah pendapat susulan hasrat syarikat penerbangan tambang murah itu yang tetap mahu meneruskan kempen promosinya merujuk klia2 sebagai LCCT2.

Semalam, AirAsia dilaporkan mengemuka permohanan bertulis kepada Liow dan Kementerian Pengangkutan bagi menjadikan klia2 sebagai hab penerbangan tambang rendah serantau.

Liow berkata beliau bersedia berjumpa dan mengadakan perbincangan dengan AirAsia dalam usaha mempromosikan syarikat penerbangan kos rendah itu, namun menegaskan bahawa isu pertukaran nama klia2 tidak akan dibincangkan.

Menurutnya kerajaan melalui MAHB dan Kementerian Pengangkutan sentiasa menyokong usaha AirAsia bagi menggalakkan pertumbuhan syarikat penerbangan itu.

"Tetapi, AirAsia tidak harus mencampuradukkan pertukaran nama klia2 dengan usaha kerajaan menyokong penerbangan kos rendah itu kerana ia adalah dua perkara berbeza dan tiada kaitan," katanya.

Mengenai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, Liow berkata cadangan yang dibuat pada mesyuarat khas tiga pihak peringkat pegawai akan dibawa ke mesyuarat tiga pihak peringkat menteri untuk diputuskan pada pertengahan Julai ini.

Beliau berkata antara cadangan itu adalah usaha pencarian diteruskan sehingga Oktober ini berikutan cuaca buruk di kawasan pencarian pada masa ini dan ketiga-tiga negara - Malaysia, China dan Australia - meneruskan pencarian sehingga 120,000 kilometer persegi.

"Berikutan cuaca buruk, kerja-kerja pencarian turut berdepan halangan dan kos turut bertambah,” jelas Liow.

Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

- Bernama

Lihat Komen
ADS