Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Surendran batal tuduhan bawan Akta Hasutan ditolak
Diterbitkan:  Jun 24, 2016 6:06 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Anggota Parlimen Padang Serai N.Surendran untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya iaitu membuat kenyataan berbaur hasutan, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas mendapati tiada asas untuk pertuduhan dibatalkan kerana pertuduhan itu dibuat berdasarkan undang-undang yang sah.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab mahkamah untuk melaksanakan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Parlimen.

"Mahkamah juga tidak melihat bahawa pendakwaan (yang dihadapi oleh Surendran) itu menghalang tugasnya sebagai seorang peguam," katanya.

Nordin juga menolak permohonan Surendran untuk menangguhkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen sementara pihaknya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, atas alasan tiada keadaan istimewa bagi membolehkan prosiding itu ditangguhkan.

Nordin bagaimanapun, membenarkan permohonan Surendran untuk menangguhkan sementara perbicaraan kesnya itu sehingga 20 Julai. Mahkamah Sesyen sebelum ini menetapkan 27 hingga 28 Jun untuk perbicaraan.

Peguam itu didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan berkaitan kes liwat kedua Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi YouTube di Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya antara 2 petang dan 4 petang pada 8 Ogos 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Surendran diwakili peguam Datuk S.Ambiga dan M.Puravalen.

Pada 14 April lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Surendran untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah juga memutuskan bahawa akta berkenaan adalah berperlembagaan.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS