Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Mufti Pahang menjurus 'khianat awam'
Diterbitkan:  Jun 24, 2016 6:19 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

Pandangan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman bahawa DAP adalah kafir harbi mengundang perbahasan hangat, terutamanya daripada aspek agama.

Bagaimanapun, menyentuh aspek undang-undang, seorang peguam berpendapat ia bertentangan dengan Seksyen 505 Kanun Keseksaan berkaitan khianat awam.

Syahredzan Johan berkata, ini susulan gelaran itu membolehkan golongan itu diperangi, dibunuh dalam keadaan tertentu dan harta bendanya diambil.

“Dengan mengatakan bahawa DAP itu kafir harbi, beliau secara langsung menggalakkan orang ramai untuk membuat mudarat ke atas penyokong atau ahli DAP, termasuklah menumpahkan darah mereka, atas alasan agama.

“Ini bertentangan dengan Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu boleh menjurus kepada sesuatu kenyataan yang mendatangkan khianat awam (public mischief); mengapikan suatu golongan untuk melakukan kesalahan terhadap golongan lain,” katanya.

Utusan Malaysia melaporkannya Abdul Rahman sebagai berkata, DAP yang menentang hukum Islam dan mahu menubuhkan negara sekular tergolong dalam kalangan kafir harbi dan wajib ditentang umat Islam.

Abdul Rahman turut dipetik sebagai berkata, haram dan berdosa besar bagi umat Islam bersekongkol dengan DAP.

Beliau merujuk kepada penentangan DAP terhadap Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016 yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dihubungi Malaysiakini, beliau tidak merujuk istilah kafir harbi kepada DAP semata-mata, tetapi semua pihak yang menentang Islam.

"Secara umum begitu (DAP kafir harbi), (tetapi) bukan DAP sahaja. Sesiapa sahaja...

“Istilahnya menentang, kalau tak menentang bukanlah (kafir harbi)," katanya ketika diminta mengesahkan laporan Utusan Malaysia yang memetiknya hari ini.

Menulis di Facebook, Syahredzan berkata kenyataan itu “amat tidak bertanggungjawab oleh seorang agamawan”.

Seorang sarjana daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik turut menolak pandangan itu yang menurutnya boleh mengundang pertumpahan darah, membuka pintu keganasan dan menyokong wacana pengganas IS.

Lihat Komen
ADS