Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tinggi tolak permohonan SIS cabar fatwa isytiharnya menyeleweng
Diterbitkan:  Jun 24, 2016 6:35 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Sisters In Islam (SIS) untuk mencabar fatwa Selangor yang melabelkan pertubuhan itu sebagai "sesat dan menyeleweng" kerana mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berhubung isu fatwa.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan bahawa fatwa ialah perkara yang diputuskan di bawah Undang-undang Islam dan tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau berkata Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berhubung apa-apa perkara yang tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

"Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa tidak memberikan relif oleh pemohon, saya tidak menyentuh mengenai merit," kata beliau ketika menolak permohonan semakan kehakiman.

Beliau juga berkata walaupun jika SIS tidak mempunyai remedi di Mahkamah Syariah, ia tidak memperuntukkan Mahkamah Sivil bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

"Ia adalah bagi penggubal undang-undang untuk memperuntukkan remedi," kata beliau sambil menambah bahawa mahkamah perlu mengikut undang-undang yang diluluskan oleh penggubal undang-undang.

Pada 10 Disember, 2014, SIS, pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar pengasas dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim mendapat kebenaran daripada hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad untuk memulakan semakan kehakiman.

Hari ini, mahkamah mendengar merit bagi permohonan semakan kehakiman.

Forum SIS (Malaysia) memfailkan permohanan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada agama Islam dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan kerajaan Selangor sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan mana-mana pertubuhan, individu serta kumpulan yang berpegang kepada fahaman "liberalisme" dan "pluralisme" adalah menyeleweng dari ajaran Islam.

Pemohon juga memohon pengisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS mengarahkan, melalui fatwa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyekat laman web sosial yang bertentangan dengan ajaran islam adalah bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka, antara lain, memohon pengisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS adalah bercanggah dengan Perkara 10, 11, 74 dan Senarai I dan II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa SIS, yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai sebuah syarikat berhad secara jaminan, tidak tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS.

Di luar mahkamah, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili pemohon memberitahu pemberita bahawa anak-anak guamnya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan kerana isu fatwa buat pertama kali dicabar
melalui semakan kehakiman.

- Bernama

Lihat Komen
ADS