Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masing: Kekosongan jawatan menteri harus diisi wakil dari S'wak
Diterbitkan:  Jun 25, 2016 7:15 AM
Dikemaskini: 11:19 PM

Kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam Kabinet Persekutuan harus diisi oleh seorang anggota Parlimen dari Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing.

Katanya, kekosongan itu adalah khusus untuk diisi oleh wakil dari Sarawak dan berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memilih calon yang sesuai untuk menggantikan Uggah.

"Ada 14 anggota parlimen dari Sarawak. Siapa yang menggantikan Douglas Uggah mestilah orang yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan firma guaman, Ling Sempurai Hii & Partners Advocates di Sibu semalam.

Ketika ditanya anggota parlimen yang akan menggantikan Uggah mewakili parti mana, Masing berkata beliau tidak tahu tetapi jika Najib memutuskan bahawa wakil dari parti pimpinannya - Parti Rakyat Sarawak (PRS) adalah layak, beliau menghargainya.

Uggah melepaskan jawatannya sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi berikutan pelantikannya sebagai timbalan ketua menteri Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri ke-11 bulan lepas.

Selain untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Uggah, rombakan itu juga untuk mengisi jawatan timbalan menteri selepas Tan Sri Noriah Kasnon, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Dua jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga kosong – satu bertanggungjawab bagi PEMANDU dan satu lagi bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Datuk Seri Idris Jala, yang menerajui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana Menteri melepaskan jawatannya selepas penggal kedua beliau sebagai senator berakhir.

Tan Sri Abdul Wahid Omar, yang menerajui EPU tidak mahu melanjutkan tempoh khidmatnya dalam kabinet selepas hanya menjadi senator untuk satu penggal.

Seorang timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga perlu dilantik untuk mengisi kekosongan selepas Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS