Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Obama: Hubungan istimewa antara AS dan UK kekal
Diterbitkan:  Jun 25, 2016 3:11 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Presiden AS Barack Obama berkata hubungan istimewa antara Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) kekal dan
akan berterusan walaupun negara itu keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

"Satu perkara yang tidak akan berubah adalah hubungan istimewa yang wujud antara kedua-dua negara. Itu akan berterusan," katanya dalam apa yang dikatakan sebagai reaksi pertamanya berhubung Brexit, susulan keputusan pungutan suara yang diadakan pada 23 Jun, menyaksikan rakyat Britain mengundi untuk keluar daripada blok ekonomi itu.

Beliau berkata undian itu menandakan kepada perubahan semasa dan cabaran daripada globalisasi.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada hari terakhir Sidang Kemuncak Keusahawanan Global 2016 selama tiga hari di sini.

Obama turut percaya bahawa UK komited kepada peralihan yang lancar dan EU akan masih kekal sebagai antara rakan AS yang amat diperlukan.

"Beberapa jam yang lalu, saya bercakap dengan Perdana Menteri David Cameron. David telah menjadi sahabat yang baik dan rakan kongsi di peringkat global.

"Dan berdasarkan perbualan kami, saya yakin UK komited kepada peralihan yang lancar.

"Kami bersetuju pasukan ekonomi dan kewangan kami akan kekal dalam hubungan yang rapat kerana kami terus menumpukan kepada usaha memastikan kestabilan pertumbuhan ekonomi dan kewangan," katanya.

Obama berkata beliau juga telah bercakap dengan Canselor Jerman Angela Merkel, yang mana kedua-dua pemimpin bersetuju AS dan sekutu Eropahnya akan bekerjasama rapat pada minggu dan bulan-bulan akan datang.

Obama sebelum ini dikritik apabila mengingatkan Britain bahawa ia akan berada 'di belakang barisan' bagi perjanjian perdagangan dengan AS jika mengundi untuk keluar daripada EU.

Beliau juga berkata Britain akan membantu memimpin EU yang kukuh.

Sementara itu, Obama berkata, keusahawanan adalah penting dalam dunia yang semakin global dan kekal sebagai jentera pertumbuhan.

Katanya, usahawan mempunyai kuasa untuk membentuk perniagaan, mewujudkan pekerjaan dan menghasilkan produk baru.

"Saya percaya kita akan berada dalam kedudukan lebih baik dalam dunia kita berdagang dan berangkaian, berkomunikasi dan berkongsi idea.

"Tetapi itu juga bermakna kebudayaan akan bertembung dan kadangkala ia menimbulkan gangguan dan orang ramai menjadi bimbang," kata presiden yang akan bersara itu di depan lebih 700 usahawan daripada 170 negara, selain 300 pelabur untuk peraduan pembentangan, panel dan rangkaian.

"Anda adalah jambatan. Anda adalah perekat, terutama golongan muda yang berada di sini yang boleh membantu memimpin kepada masa depan yang lebih aman dan makmur yang menawarkan peluang kepada setiap orang," katanya.

Pentadbiran Obama menyokong keusahawanan dan menjadikannya keutamaan penting dalam dasar diplomasi dan dasar luar beliau.

Kerajaannya bekerjasama secara langsung dengan usahawan di luar negara dengan mewujudkan pelbagai pusat di Pakistan, Kemboja, Zambia dan Kenya yang menawarkan latihan, bimbingan dan akses kepada teknologi kepada usahawan wanita.

Sementara itu GES 2016 yang diadakan mulai 22 hingga 24 Jun adalah sidang yang ketujuh. Sebelum ini ia telah dihoskan AS serta kerajaan Turki, Emiriyah Arab Bersatu, Malaysia, Maghribi dan Kenya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS