Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesetiaan harga yang perlu dibayar dalam politik, kata Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ada pelbagai harga yang perlu dibayar di dalam dunia politik.

"Dalam hal ini saya fikir ketaatsetiaan adalah menjadi harga yg paling mahal yang terpaksa dibayar. Dulu kita diajar supaya taat setia secara sepenuhnya," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian di Kuala Lumpur hari ini, apabila diminta mengulas mengenai pemecatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Umno.

"Jadi itu juga yang telah dilakukan kepimpinan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) dan tentunya pelbagai tafsiran boleh dilakukan, namun keutamaan hendaklah diberikan kepada menyatupadukan kepimpinan parti."

Zahid sebelum itu mengimbau apa yang pernah dialaminya dan membayar 'dengan tunai'.

Walaupun dia tidak menyebut nama, ramai yang masih ingat bagaimana beliau rapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas kejatuhan Anwar, Zahid kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sewaktu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih berkuasa.

Majlis Tertinggi akhir keputusan

Sementara itu, ketika mengakui ada sesetengah yang mungkin mendapati sukar untuk menerima sepenuhnya keputusan Majlis Tertinggi Umno, Zahid bagaimanapun berkata, keputusan mengenai perkara itu telah dimuktamadkan.

Oleh itu, katanya, keputusan yang telah dibuat itu hendaklah diterima dengan hati terbuka dan berlapang dada.

Timbalan perdana menteri juga menafikan bahawa Umno akan mengadakan pemilihan parti dalam masa terdekat, dan sebaliknya menegaskan supaya perpaduan dalam parti perlu diwujudkan semula.

"Biarpun ianya agak sukar di peringkat awal tapi saya fikir kerana Umno telah melalui pelbagai era, maka dugaan demi dugaan tetapi datang.

"Namun kaedah penyelesaian harus dicari supaya Umno terus relevan bukan hanya pada ahli-ahlinya tetapi juga kepada rakyat keseluruhannya," katanya

Semalam, Majlis Tertinggi Umno, sebulat suara memutuskan untuk memecat Muhyiddin dan Mukhriz, serta menggantung keahlian Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Najib telah menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas kedua-dua Muhyiddin dan Mukhriz di atas pentas yang sama bersama-sama dengan pembangkang.

Walaupun ketiga-tiga mereka tidak berkempen secara aktif untuk pembangkang dalam pilihan raya kecil berkembar, Muhyiddin dan Mukhriz secara aktif terlibat dalam kempen Selamatkan Malaysia yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ironinya Najib sendiri juga telah muncul di atas pentas dengan beberapa pemimpin parti pembangkang PAS dalam acara baru-baru ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS