Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Johor berkenan terima zakat RM6.45 juta Jcorp

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima penyerahan pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM6.45 juta daripada Johor Corporation (Jcorp).

Zakat terbabit diserahkan Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Jcorp, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis Santapan Berbuka Puasa JCorp di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, di Johor baharu, semalam.

Turut berangkat ke majlis itu, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, SetiausahaKerajaan Johor, Datuk Ismail Karim dan barisan exco kerajaan Johor.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim menerusi ucapan pada majlis berkenaan berkata, zakat tersebut merangkumi 37 syarikat dalam kumpulan Jcorp.

"Syarikat berkenaan termasuk Kulim (Malaysia) Berhad, QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, KPJ Healthcare Berhad dan Johor Land Berhad (Jland)," katanya.

Kamaruzzaman berkata, pembayaran zakat itu diuruskan oleh Capaian Aspirasi Sdn Bhd sebagai amil zakat korporat yang dilantik Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Pada majlis santapan itu, JCorp turut menceriakan 100 anak yatim, fakir miskin dan orang kelainan upaya (OKU) daripada lima rumah kebajikan di daerah ini.

Mereka menerima sumbangan duit raya bersama beg cenderamata selain menikmati makanan segera KFC dan Pizza Hut sebagai juadah berbuka puasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS