Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno negeri perlu terima pemecatan Muhyiddin'

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta semua UMNO negeri menerima pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan hati terbuka.

Jelasnya setiap ahli UMNO perlu memahami bahawa pemecatan itu tidak berlandaskan sentimen kenegerian, sebaliknya dilakukan atas kesalahan disiplin.

"Kalau keputusan pemecatan ini diterima sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (UMNO), sepatutnya UMNO di perhubungan negeri juga perlu menerimanya.

"Perkara ini penting bagi kita kerana semua pihak tak kira UMNO di Johor atau di mana-mana negeri pun perlu memahami apa sebab keputusan (pemecatan) itu dibuat," katanya selepas mengagihkan 1,000 bubur lambuk kepada orang ramai di Bazar Taman Setiawangsa, di Kuala Lumpur, semalam.

Jumaat lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Muhyiddin, yang sebelum ini digantung daripada jawatan Timbalan Presiden, dipecat daripada UMNO bersama-sama Mukhriz kerana melakukan pelanggaran disiplin.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung keanggotaannya sehingga Majlis Tertinggi UMNO menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.

Hishammuddin turut meminta Muhyiddin dan Mukhriz agar tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan perjuangan UMNO walaupun selepas mereka dipecat daripada parti itu.

Beliau berkata kedua-dua mereka perlu berpegang teguh kepada apa yang pernah dinyatakan dalam parti sebelum ini untuk memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara menerusi UMNO.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata keputusan MT UMNO terhadap Muhyiddin dan Mukhriz itu bukanlah tindakan luar daripada kebiasaan politik.

"Kita pentingkan parti, kes 'lawan tauke' ini bukan perkara baharu kerana sebelum ini kita pernah berhadapan perkara sama melibatkan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Musa Hitam (Tun Musa Hitam) yang bertindak menentang presiden parti pada ketika itu.

"Dalam hal ini kita harus bersikap rasional, siapa yang bersalah perlu dikenakan tindakan, Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) adalah tonggak kekuatan parti dan disiplin adalah asas perjuangan kita, semestinya tindakan ini diambil demi keharmonian dan memperkukuh kedudukan parti," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perantau Anak Pahang dan Penyampaian Anugerah Cemerlang Akademi di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata keputusan MT UMNO itu tidak dibuat secara tergesa-gesa.

"Sebaliknya, setelah mengambil masa yang lama, setelah meneliti, melihat tingkah laku atau sikap pemimpin ini (Muhyiddin, Mukhriz dan Shafie) yang mana MT UMNO berpendapat (telah) membelakangkan kepentingan UMNO dan disiplin parti.

"Jadi satu tindakan harus diambil," katanya.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 4 di Tawau.

Musa berkata, baginya yang penting ialah perjuangan parti iaitu untuk memastikan wujud kesatuan dan perpaduan di kalangan ahli dan pemimpin parti di semua lapisan bagi memastikan UMNO terus utuh dan kuat.

Mengenai majlis berbuka puasa itu mengikut zon berkenaan, Musa berkata ia adalah amalan tahunan UMNO Sabah.

Katanya majlis itu memberi peluang kepada ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat bersemuka, bertukar-tukar fikiran dan mengeratkan silaturrahim di kalangan mereka.

Majlis itu turut diisi dengan penyerahan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Sementara itu, UMNO Pulau Pinang menyatakan ia menerima serta memahami senario kenapa pemecatan itu dibuat MT.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata ketiga-tiga pemimpin itu didapati bersekongkol dengan pembangkang.

"DAP itu musuh politik UMNO dan sesiapa yang duduk semeja atau sepentas dengan DAP, maknanya bersekutu dengan parti yang merupakan musuh politik UMNO.

"Rata-rata ahli UMNO memahami kenapa keputusan (pecat) ini perlu dibuat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri hari ini.

Dalam perkembangan lain Zainal Abidin berkata pihaknya bersedia menyediakan input untuk wakil daripada Gerakan semasa debat mengenai isu terowong dasar laut 28 Jun ini.

Debat antara Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang Lim Hock Seng dan Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng itu akan diadakan untuk tontonan umum bagi membolehkan rakyat lebih memahami isu berkenaan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Hon Wai hari ini dilaporkan berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa debat bertajuk 'Tiga Lebuhraya dan Terowong Bawah Dasar Laut' itu menggunakan bahasa kebangsaan dan diadakan di Dewan Kompleks Masyarakat Penyayang pada 9 malam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS