Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kafir harbi: Komponen BN didakwa main politik

Seorang wakil rakyat DAP menganggap komponen BN – MCA dan Gerakan – hanya bermain politik apabila mengkritik mufti Pahang dalam isu kafir harbi.

Anggota parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata kepimpinan MCA dan Gerakan sepatutnya membawa isu itu ke mesyuarat kabinet.

“Jangan hanya pandai main politik di media sahaja tetapi dalam kabinet mereka diam.

“Saya juga nak tengok sama ada pemimpin MCA dan Gerakan sanggup membawa isu ini ke kabinet atau tidak,” kata Lim kepada pemberita di perkarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Lim mengiringi Ketua Biro Agama Pemuda PKR Wan Ji Wan Hussin di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, yang membuat laporan polis terhadap mufti itu.

Datuk Abdul Rahman Osman minggu lalu mengisytiharkan DAP sebagai kafir harbi - istilah yang digunakan terhadap golongan bukan Islam yang memerangi Islam dan dianggap halal darah.

Semalam, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang telah membuat spekulasi bahawa tiada menteri kabinet akan berani menyelar dakwaan mufti itu.

Walaupun ia menyebut khusus terhadap DAP, parti-parti lain dalam BN turut berkongsi pandangan dengan parti itu dalam isu bidang kuasa mahkamah syariah dan hudud.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika ditemui pemberita semalam enggan mengulas kontroversi itu.

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong pula semalam hanya berkata “tidak bersetuju” selepas diasak pemberita yang mahukan pendiriannya.

Lihat Komen
ADS