Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pelantikan hakim wanita di Mahkamah Tinggi Syariah sejajar Islam'
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 1:38 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Pelantikan dua hakim wanita sebagai hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor semalam berjaya menolak persepsi negatif sesetengah pihak terhadap wanita, kata ketua wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata pelantikan itu sejajar dengan ajaran Islam yang memberi peluang kepada wanita menuntut ilmu dan terlibat dalam proses membuat keputusan di peringkat tertinggi organisasi.

"Kurniaan watikah lantikan ini diperkenan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah harus dipuji kerana ini membuktikan keprihatinan Tuanku terhadap isu-isu Mahkamah Syariah khususnya yang melibatkan peranan wanita.

"Perlantikan ini jelas menolak persepsi negatif sesetengah pihak yang prejudis terhadap peranan wanita dalam menggalas tanggungjawab yang selama ini hanya dipelopori kaum lelaki," katanya pada satu kenyataan.

Beliau juga menggesa negeri-negeri lain mengikut jejak langkah sama dengan melantik lebih ramai hakim wanita di mahkamah tinggi syariah.

"Kebijakan wanita yang menguasai hampir separuh dalam bidang pendidikan melayakkan mereka untuk berada di mana-mana kedudukan terpenting dalam mana-mana organisasi di peringkat nasional mahupun antarabangsa," katanya.

Noor Huda, 40 dan Nenney Shuhaidah, 41, dilantik mengikut Subseksyen 58 (1) dan Seksyen 59 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Tujuh wanita turut dilantik sebagai hakim mahkamah rendah syariah di Selangor semalam.

Ketua Hakim Syarie Selangor Datuk Mohd Na'im Mokhtar dilapor berkata pelantikan hakim-hakim wanita itu bukan kerana jantina tetapi kerana keupayaan mereka.

Hakim syariah wanita pertama dilantik pada tahun 2010. Pada tahun 2006, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa wanita boleh dilantik menjadi hakim syariah tetapi tidak boleh memutuskan kes-kes melibatkan hudud dan qisas.

Lihat Komen
ADS