Paling Popular
Terkini

Jabatan Kesihatan Negeri Perak merekodkan kes demam campak di Perak meningkat kepada 13 kes sehingga Jun tahun ini berbanding satu kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarahnya Datuk Dr Juwita Ghazali berkata jumlah itu termasuk lima kes melibatkan warga asing di Depot Tahanan Imigresen Langkap dekat Changkat Jong, Ipoh.

"Lapan kes sporadik melibatkan empat pesakit yang masih belum layak mendapat suntikan imunisasi, satu kes ada imunisasi, satu kes tidak dapat dipastikan dokumentasi imunisasi dan dua kes lagi tiada imunisasi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata jumlah kes ini meningkat kerana pesakit tidak diberi suntikan imunisasi selain ada antara pesakit mendapat jangkitan daripada saudara mara yang datang dari negeri lain.

"Ada antara ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka diberi suntikan imunisasi kerana mereka ragu-ragu terhadap kandungan vaksin dan mengamalkan perubatan homeopati," katanya.

Dalam pada itu, Dr Juwita berkata pihaknya telah memberi penerangan kepada ibu bapa atau penjaga mengenai kebaikan suntikan ketika mereka datang ke Klinik Kesihatan untuk membuat pemeriksaan perkembangan bayi.

"Sekiranya ibu bapa mahu menolak suntikan imunisasi untuk anak, mereka perlu merujuk kepada pegawai perubatan dan doktor pakar untuk mendapatkan nasihat. Sekiranya ibu bapa masih menolak mereka perlu mengisi borang penolakan imunisasi," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 873 kes wabak measles atau campak dilaporkan sehingga minggu pertama bulan ini, sekali gus menunjukkan peningkatan 340 peratus berbanding 197 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata peningkatan kes demam campak itu disebabkan kanak-kanak tidak mendapatkan imunisasi dan majoriti wabak membabitkan rumah persendirian (63.6 peratus), diikuti institusi (28.8 peratus) dan komuniti (7.6 peratus).

Lihat Komen
ADS