Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Portal pro-Najib saran Muhyiddin masuk AMANAH
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 3:04 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Selepas dipecat Umno bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan bahawa beliau mungkin menubuhkan sebuah “wadah politik baru” - sama ada ia sebuah parti atau tidak, perkara itu masih belum jelas.

Pemerhati politik masih tertunggu-tunggu hala tuju bekas timbalan presiden Umno dan tidak kurang juga membuat spekulasi bahawa Muhyiddin akan menyertai parti pembangkang.

Bagi portal pro Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Mykmu.net, satu-satunya parti yang mungkin menadah kedua-dua tangan kepada Muhyiddin dan Mukhriz hanyalah Parti Amanah Negara.

“Khabarnya Mahathir dan AMANAH begitu akrab sekali pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar tempohari. Mahathir bagaikan ‘mursyidul am AMANAH’ layaknya!

“Mahathir di usia tuanya sanggup naik pentas berkempen untuk parti Mat Sabu itu. Sayanganya Mahathir pada AMANAH hingga sanggup ‘membunuh’ Umno dan BN.

“Padahal, Umno dan dan BN itulah yang menjulang dirinya menjadi perdana menteri selama 22 tahun,” katanya.

Tikam belakang presiden

Menurut penulis artikel yang hanya dikenali sebagai Cenderawasih, Muhyiddin dan Mukhriz tidak perlu malu kerana AMANAH layak disertai oleh golongan ‘tikam belakang presiden’.

Ia jelas merujuk kepada tindakan bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin parti itu yang menentang kepimpinan presidennya, Datuk Seri Hadi Awang yang tewas pada pemilihan parti itu.

Mereka akhirnya menubuhkan AMANAH dan lantang membidas Hadi serta bertanding melawan calon PAS pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 7 Jun lalu.

Bagaimanapun menurut portal pro Najib itu, sekiranya Muhyiddin dan Mukhriz hendakkan jawatan tinggi dalam AMANAH mereka boleh berbincang dengan Mat Sabu.

“Sahabat baik punya pasal, mungkin Mat Sabu boleh serah jawatan presiden pada Muhyiddin dan timbalan presiden pada Mukhriz, siapa tahu bukan? Cubalah bincang dengan AMANAH.

“Mungkin dengan cara itu maka Muhyiddin dan Mukhriz boleh jadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri ‘segera’….,” sindirnya.

Bagi Mykmu, tidak banyak pilihan buat Mukhriz dan Muhyiddin untuk menyertai parti yang dianggotai oleh majoriti bangsa Melayu kerana mereka tidak akan memilih sama ada PAS mahupun PKR.

“Bukankah PAS memang tidak ‘sebulu’ dengan Mahathir? Sejak dari dulu, Mahathirlah manusia yang paling keras dalam Umno yang menentang perlaksanaan hudud.

“Bukan saja tidak dibantu, malah bapa Mukhriz itu menolak mentah-mentah draf hudud yang dikemukakan PAS,” katanya.

Tunduk kepada Anwar

Penulis juga tidak menjangkakan mereka menyertai PKR kerana kedua-dua mereka tidak akan tunduk kepada ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara Sungai Buluh.

“Siapa yang tidak tahu tentang apa yang telah dilakukan Mahathir pada Anwar? Tidak perlu diulas, semua orang tahu.

“Lagipun, sudikah Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah terima Muhyiddin dan Mukhriz?

“Muhyiddin mungkin ya, tapi tidak untuk Mukhriz. Tunjuk muka di majlis deklarasi pun tidak sudi, bagaimana hendak terima Mukhriz?” soalnya.

Sejak dipecat penyokong Mukhriz mengadakan sebuah undian di Facebook sama ada orang ramai bersetuju dengan cadangan sebuah “wadah politik baru”.

“Ada setuju gabungan 3M ini menubuhkan parti baru atau tidak. Komen ya atau tidak,” menurut tulisan di laman sosial itu.

3M merujuk kepada Muhyiddin, Mukhriz dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang digantung keanggotaan mereka.

Lihat Komen
ADS