Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bung harap Umno Semporna tak ‘jangkiti’ Pagoh dan Kedah
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 3:39 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Bung Moktar Radin berharap tidak akan ada tindakan keluar parti secara besar-besaran oleh ahli dan pemimpin Umno di Pagoh atau di Kedah kerana membantah pemecatan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada parti.

Beliau berkata demikian kepada portal Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) susulan tindakan ratusan ahli Umno di Semporna yang meninggalkan parti itu kerana membantah penggantungan Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dari Umno.

“Saya terkilan sedikit di mana perkara sebegini berlaku di Semporna iaitu di Sabah kerana seramai 200 cawangan Umno keluar dari parti bersama dengan Naib Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri sekali.

“Ini dilihat sebagai tanda protes terhadap kepimpinan parti.

“Kita perlu perkukuhkan barisan kita. Pemimpin datang dan pergi namun perjuangan parti kena diteruskan.

“Saya percaya Shafie Apdal mampu melakukan yang terbaik. Sudah menjadi lumrah politik, hari ini berkawan esok menjadi lawan,” katanya.

Antara mereka yang mengumumkan keluar parti semalam termasuk Naib Ketua Umno Semporna dan ADUN Sulabayan Datuk Dr Jaujan Sambakong.

Jaujan mendakwa ramai ketua cawangan juga meletak jawatan selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno.

Turut mengambil tindakan sama ialah tiga ketua sayap iaitu Ketua Pemuda Mohd Aziz Jamman, Ketua Wanita Manis Muka Dara dan Ketua Puteri Zakiah Kalipunya dan 200 ketua cawangan bahagian itu.

Walau bagaimanapun, ADUN Bugaya, Ramlee Marahaban mendakwa Umno bahagian Semporna masih tidak tergugat dan ramai yang hadir semalam kerana tidak sedar ia adalah majlis bagi mengisytiharkan mereka keluar parti.

Beliau berkata, sebahagian besar hadir untuk acara berbuka puasa.

Zakiah Kalipunya pula dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau turut mengambil tindakan keluar parti sebaliknya memilih untuk setia dalam Umno dan meneruskan wadah perjuangan sehingga tamat tempoh penggal.

Lihat Komen
ADS