Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tolak vaksin antara sebab penyakit berjangkit di T'ganu

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu merekodkan peningkatan kes penyakit berjangkit seperti campak, batuk kokol dan Hepatitis B di Terengganu sejak tahun lalu.

Mengumumkan demikian, Pengarahnya Dr Mohammad Omar berkata, ini dilihat mempunyai kaitan dengan kadar pertambahan jumlah ibu bapa yang menolak pemberian vaksin kepada anak mereka.

Beliau berkata bagi Hepatitis B, Terengganu mencatat 156 kes pada tahun lalu iaitu peningkatan lebih 100 peratus berbanding hanya 66 kes direkodkan pada 2013.

"Begitu juga dengan batuk kokol, sebanyak 104 kes dilaporkan berlaku pada 2015 berbanding hanya 29 kes pada 2013 manakala bagi campak, setakat Mei lalu, sebanyak 38 kes direkodkan di seluruh negeri berbanding hanya 17 kes pada 2013," katanya.

Mengenai penolakan vaksin, Dr Mohammad berkata, ibu bapa tidak menerima maklumat yang betul, sebaliknya hanya menerusi maklumat dari alam maya.

Beliau bimbang kes penolakan ini akan meningkat kepada 300 hingga 400.

Setakat Mac lalu, sebanyak 120 kes penolakan vaksin direkodkan, katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada 2013, hanya 42 kes ibu bapa menolak vaksin direkodkan namun ia mula meningkat kepada 192 kes pada 2014 dan 188 kes pada tahun lalu.

"Sehubungan itu, jabatan akan turun padang untuk memberi penerangan kepada ibu bapa ini mengenai maklumat yang tepat agar mereka mendapat pemahaman yang betul mengenai vaksin.

"Kita juga akan memperhebatkan kempen mengenai vaksin ini melalui ceramah, poster dan hebahan melalui media massa," katanya.

Pada 18 Jun lepas, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun meninggal dunia di Melaka akibat difteria dan empat hari kemudian seorang lagi kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia di Kedah akibat penyakit sama.

Menurut Kementerian Kesihatan, kedua-dua mangsa tidak menerima imunisasi yang lengkap dan sempurna.
-
-Bernama

Lihat Komen
ADS