Paling Popular
Terkini

Debat antara DAP dan Gerakan di Pulau Pinang berhubung isu terowong dasar laut yang pada awalnya berlangsung tenang, bertukar menjadi kecoh apabila penyokong kedua-dua belah pihak mengganggu pendebat.

Berlangsung di Kompleks Masyarakat Penyayang malam tadi, debat selama 90 minit itu dikendalikan oleh peguam Lee Khai.

Ketua Menteri Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew tiba di kompleks itu pada jam 8.45 malam dan mendapat tepukan gemurun tetapi kena 'boo' oleh penyokong Gerakan apabila beliau memasuki dewan.

Dewan penuh sesak dengan penyokong parti ditempatkan secara berasingan, dengan penyokong Gerakan di sebelah kanan pentas, dan penyokong DAP di sebelah kiri pentas.

Pendebat - ahli exco kerajaan negeri, Lim Hock Seng dan setiausaha agung Gerakan, Liang Teck Meng - mengambil tempat mereka di atas pentas pada jam 9 malam.

Liang adalah yang pertama bercakap dengan mempersoalkan kos terowong, perjanjian pertukaran tanah dengan kontraktor Consortium Zenith-BUCG dan kos RM305 juta yang dianggap tinggi untuk kajian daya maju projek dan reka bentuk terperinci dan sikap "flip flop" kerajaan negeri dalam mencadangkan pembinaan jambatan ketiga yang bebas tol untuk menggantikan terowong.

"Jika kita tidak menimbulkan persoalan tentang terowong, adakah ketua menteri mahu jambatan ketiga? Atau adakah ini semua satu sandiwara untuk mengalihkan perhatian daripada isu terowong?" tanya Liang.

Hock Seng mengambil kesempatan itu untuk membidas kerajaan negeri Gerakan sebelumnya kerana didakwa menjual tanah utama pada harga RM1 sekaki persegi, dan didakwa menganugerahkan projek mega kepada ahli keluarga tanpa tender terbuka.

Hock Seng menjelaskan secara terperinci mengenai bagaimana projek itu telah dianugerahkan kepada CZBUCG pada tahun 2013.

Katanya, satu pasukan teknikal yang terdiri daripada pegawai kewangan negeri, jurutera dari JKR dan agensi lain, telah ditubuhkan untuk menyemak permintaan untuk cadangan dari lima daripada 60 syarikat yang disenarai pendek.

Jawatankuasa itu, katanya, membuat cadangan kepada jawatankuasa tender yang diketuai oleh setiausaha kerajaan negeri, yang kemudiannya memutuskan bahawa CZBUCG memberikan kos yang paling rendah.

Firma itu meminta 157 ekar tanah sebagai pampasan, yang telah dikurangkan kepada 110 ekar dengan konsesi tol selama 30 tahun, jelas Hock Seng.

Pendebat tak berpuas hati

Pada akhir majlis itu, kedua-dua pendebat tidak puas hati kerana mereka merasakan soalan masing-masing tidak dijawab.

Kepada pemerhati, kelihatan kedua-dua pihak telah terpesong dari topik debat "Tiga Lebuhraya dan Terowong Dasar Laut" apabila mereka mula menyerang pentadbiran satu sama lain.

Keadaan tenang dalam masa sepuluh minit pertama, bermula dengan ucapan pembukaan Liang tetapi hadirin, terutama di sebelah tempat Gerakan, bertukar menjadi bising apabila tiba giliran Hock Seng untuk bercakap.

Ini membuatkan Hock Seng tidak senang, di mana ucapannya kemudiannya mengandungi panggilan seperti "bodoh, samseng dan celaka".

Pihak keselamatan di situ terpaksa dipanggil untuk menghalang dan menarik seorang hadirin dari tempat Gerakan yang membuat kecoh.

Pemimpin Gerakan kemudian berkata, remaja itu adalah "ejen provokasi".

Ketegangan adalah tinggi semasa debat itu walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku dengan Lee Khai meminta hadirin bertenang, kerana penonton tidak dapat mendengar hujah-hujah yang dikemukakan oleh pendebat.

Hock Seng 'bengang' apabila Liang menyentuh mengenai isu kontroversi banglo RM2.8 juta Ketua Menteri Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn yang beliau didakwa membelinya di bawah nilai pasaran.

Dalam debat yang dianjurkan oleh kerajaan Pulau Pinang itu, orang ramai hadir mulai jam 7 malam - kira-kira 90 minit sebelum debat bermula.

Semuanya bermula pada 11 Jun apabila Liang menawarkan untuk berdebat dengan Hock Seng selepas beliau menolak tawaran untuk berdebat mengenai isu yang sama dari pemangku ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo.

Terowong bertol bernilai RM6.3 bilion dan tiga lebuh raya itu, yang ditawarkan kepada CZBUCG melalui tender terbuka, menjadi tajuk utama untuk beberapa bulan, dan daya maju projek itu terus dipersoalkan oleh NGO dan pembangkang di negeri ini.

Tiga lebuhraya tanpa tol itu dijangka siap pada 2022, manakala terowong itu dijangka siap pada 2027.

Hock Seng sebelum ini menjelaskan bahawa kos kajian daya maju tiga projek lebuh raya itu hanya RM51.2 juta, manakala kajian untuk terowong dasar laut hanya kos RM20 juta, dan bukan RM305 juta.

Jumlah RM305 juta itu juga adalah untuk bayaran reka bentuk terperinci projek-projek itu, manakala CZBUCG akan menanggung kos tambahan RM4.9 juta untuk penilaian kesan alam sekitar dan penilaian kesan alam sekitar terperinci.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS