Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images

Tiga pengebom bunuh diri melepaskan tembakan sebelum meletupkan diri mereka di lapangan terbang antarabangsa utama di Istanbul semalam, mengorbankan 28 orang dan mencederakan puluhan orang lagi, kata gabenor wilayah dan para saksi.

Polis melepaskan tembakan untuk cuba menghalang dua daripada penyerang itu sebelum mereka sampai ke pusat pemeriksaan keselamatan di balai ketibaan di lapangan terbang Ataturk yang ketiga paling sibuk di Eropah, tetapi mereka meletupkan diri mereka, kata seorang pegawai Turki kedua.

Gabenor Istanbul, Vasip Sahin memberitahu pemberita bahawa 28 orang terbunuh dan kira-kira 60 cedera. Beberapa saksi melaporkan dua letupan tetapi Sahin berkata pihak berkuasa percaya mungkin ada tiga pengebom bunuh diri.

Seorang pegawai Turki berkata sebahagian besar daripada mereka yang terbunuh adalah warga Turki, tetapi orang asing juga antara yang maut.

"Berlaku satu letupan yang sangat kuat. Bumbung runtuh... kerosakan adalah besar," kata Ali Tekin, yang berada di balai ketibaan menunggu seorang tetamu apabila serangan itu berlaku.

Seorang wanita warga Jerman bernama Duygu, yang berada di kawalan pasport memasuki Turki, berkata dia terus berbaring ke lantai apabila bunyi letupan. Beberapa saksi juga melaporkan tembakan kedengaran sejurus sebelum serangan.

"Semua orang bertempiaran lari. Darah dan anggota badan manusia di mana-mana. Saya nampak lubang peluru pada pintu," katanya di luar lapangan terbang itu.

Belum ada lagi pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan terbaru dalam rentetan serangan bunuh diri di Turki pada tahun ini, tetapi agensi berita Dogan, dengan memetik sumber polis, melaporkan tanda-tanda awal menunjukkan Negara Islam (IS) mungkin bertanggungjawab.

Seorang pegawai Turki berkata, masih terlalu awal untuk menyalahkan mana-mana pihak.

Serangan itu mempunyai beberapa persamaan dengan pengeboman bunuh diri IS di lapangan terbang Brussels Mac lalu yang mengorbankan 16 orang. Satu serangan yang diselaraskan juga mensasarkan kereta api metro, yang mengorbankan 16 orang di ibu negara Belgium.

Paul Roos, 77, menceritakan bagaimana dia ternampak salah seorang penyerang "melepaskan tembakan secara rawak" di tingkat berlepas terminal.

"Dia menembak sesiapa yang berada di hadapannya. Dia memakai semua hitam. Mukanya tidak bertopeng. Saya berada 50 meter darinya," kata Roos, seorang warga Afrika Selatan yang dalam perjalanan pulang ke Cape Town bersama isterinya selepas bercuti di selatan Turki.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS