Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Remaja potong kaki warga emas dipenjara 11 tahun
Diterbitkan:  Jun 29, 2016 11:22 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Seorang remaja dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas tuduhan cubaan membunuh dengan cara memotong kaki kiri seorang warga emas wanita, 19 Jun lepas.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh Mohd Fikri Noor Rosland, 19, yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu diarah menjalani hukuman penjara tersebut dari tarikh dia ditangkap.

Dia didakwa memotong kaki kiri Mek Som Mat Diah, 89, sehingga putus dengan menggunakan sebilah mata pisau tanpa hulu di sebuah rumah di Kampung Tanjung Rendang Lemal, di Pasir Mas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haslida Isamail memohon supaya tertuduhdikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman penjara terhadapnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS