Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mindef kukuh kerjasama dengan PDRM pantau pengaruh Daesh
Diterbitkan:  Jun 29, 2016 11:33 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Kementerian Pertahanan (Mindef) akan menguatkan lagi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi memantau pengaruh militan Daesh agar tidak menular dalam kalangan rakyat negara ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata walaupun kerja memantau militan Daesh berada di bawah PDRM, namun pihaknya juga mempunyai anggota risikan yang sentiasa bekerjasama dengan PDRM dalam menangani isu tersebut.

"Soal IS (Daesh) kita tidak boleh pandang ringan kerana ia libatkan rakyat Malaysia yang hari ini kalau kita tengok dalam media sosial yang terlibat dalam keganasan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama
veteran Angkatan Tentera Malaysia di sini semalam.

Kalangan anggota tentera, beliau tidak menafikan ada antara anggota tentera yang terlibat dengan militan Daesh, namun kesemua mereka katanya telah dapat dikenal pasti dan telah diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.

"Dalam ATM kita sentiasa pantau anggota kita supaya mereka tak terlibat dengan Daesh," katanya yang enggan mendedahkan lanjut butiran berkenaan.

September 2015, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata anggota tentera yang didapati terlibat dengan kumpulan militan Daesh akan dipecat daripada perkhidmatan.

Ia susulan penahanan beberapa anggota tentera pada Ogos 2015 yang dikesan terlibat dengan kumpulan pengganas itu.

Mengenai kawalan keselamatan di sempadan negara sempena musim perayaan, beliau berkata rakyat negara ini terutamanya penduduk di Sabah tidak perlu bimbang kerana pihaknya sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang ancaman.

"Bagi pihak ATM kami sentiasa berwaspada mengenai apa jua keselamatan dan bersedia menghadapi segala ancaman baik di sini ataupun di kawasan panas seperti Sabah, semuanya dalam keadaan terkawal tiada apa-apa dan kami harap rakyat dapat sambut Aidilfitri dengan aman damai," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS