Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas IGP: Memalukan jika tuduhan ke atas Sanjeevan benar

Adalah memalukan sekiranya tuduhan ke atas Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan adalah benar, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Musa, yang juga adalah bekas penaung MyWatch, berkata ini akan memberi kesan kepada NGO lain dengan agenda sama untuk memerangi jenayah.

"Saya tidak mahu lihat sebagai menekan sesiapa kerana siasatan polis sedang dijalankan ke atasnya, biar polis jalankan siastan sama ada perkara itu benar berlaku atau tidak.

"Kalau betul berlaku, ia memalukan kerana lama-kelamaan masyarakat tidak akan percaya kepada NGO yang diwujudkan untuk mencegah jenayah,” katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Musa menekankan keperluan untuk NGO seumpama itu yang kononnya ingin mencegah jenayah tetapi terlibat pula dengan kegiatan haram.

"NGO ini perlu lebih kredibiliti kerana dia nak bantu masyarakat tetapi kalau mereka pula bertindak sebaliknya, bersama dengan kegiatan yang tak betul maka haramlah, maka malulah kita," katanya.

Minggu lalu, polis menahan Sanjeevan di Plaza Tol Nilai berikutan dakwaan bahawa beliau menuntut wang RM25,000 daripada seorang pengusaha judi haram. Pemandunya, seorang warga India, yang berusi 26 tahun turut ditahan.

Apabila disoal media pandangannya apabila mendapat khabar bahawa polis menahan Sanjevaan untuk siasatan, Musa menjawab: "Saya terperanjat kerana dia nampak macam ikhlas untuk membantu mengurangkan jenayah dalam negara ini... jadi saya rasa agak memalukan."

Musa yang kini adalah presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) berkata beliau mendapati aktiviti MyWatch lebih cenderung kepada politik semasa beliau masih menjadi penaung NGO itu.

"Saya rasa tak selesa, maka saya tinggalkan NGO itu dan menubuhkan NGO sendiri (MCCC)."

Katanya, MCCC senantiasa membantu mengurangkan jenayah dan mangsa jenayah juga boleh menghubunginya jika menghadapi kesusahan mendapat bantuan daripada pihak penguatkuasa.

Susulan kes Sanjevaan, Musa menyeru polis menyiasat latarbelakang NGO agar pertubuhan bukan kerajaan itu tidak mengambil kesempatan untuk mendapat dana atau sumbangan yang tidak sah.

"Tolong periksa latar belakang mereka kerana kita tidak mahu mana-mana orang mengambil kesempatan mendapat hasil daripada kegiatan haram yang mereka lakukan," katanya.

 

Lihat Komen
ADS