Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenapa guna bom, tembak saja jika saya sasaran - mangsa
Diterbitkan:  Jun 29, 2016 3:51 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Susulan kejadian letupan bom tangan di kelab malam sehingga menyebabkan lapan orang cedera, polis dan pemilik pub tersebut dengan segera menolak spekulasi ia menjurus kepada angkara pengganas.

Dalam catatan di laman sosial Facebook, pemilik pub, Roger Hew menuding jari pada pasangan India, dengan mendakwa siasatan awal menunjukkan suami dan isteri itu sebagai sasaran.

Ekoran itu, seluruh perhatian ditumpukan kepada S Jaiseelan dan isterinya, M Bavani yang meraikan ulang tahun perkahwinan mereka dalam pub bernama Movida itu.

Bagaimanapun, Jaiseelan, 32 yang bekerja sebagai pemandu peribadi menjadi marah atas tuduhan itu dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang jika Hew tidak meminta maaf.

Jaiseelan turut mempersoalkan keperluan untuk menggunakan bahan letupan dan mencederakan orang lain yang tidak bersalah jika benar beliau adalah sasaran.

"Jika apa yang beliau (Hew) kata itu benar, dan penyerang menyasarkan saya, mengapa mereka tidak hanya menembak saya atau mendapatkan saya dengan cara yang lain?

"Mengapa perlu melontarkan bom yang telah menyakiti begitu ramai 'mereka yang tidak bersalah'?," jelas beliau ketika ditemui di hospital, memetik laporan oleh FMT.

Sambil mempertikai dakwaan Hew bahawa bahan letupan itu telah dilemparkan kepada mereka, kata Jaiseelan, bom tersebut pada mulanya mengenai seorang lelaki Cina yang duduk bersama rakan wanita, selang beberapa meja dari tempat beliau dan isterinya.

Jaiseelan menegaskan beliau tidak mempunyai musuh atau rekod jenayah.

"Apa bukti yang pemilik bar itu ada untuk menyalahkan kami dalam serangan itu?

"Saya bekerja mencari rezeki untuk keluarga. Dakwaan beliau tidak berasas sama sekali dan tidak bertanggungjawab," tambah beliau.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS