Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terbalikkan baldi sebelum pulang beraya, pesan menteri

Kementerian Kesihatan menasihatkan rakyat di negara ini supaya membersihkan rumah sebelum pulang ke kampung atau bercuti sempena hari raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri S Subramaniam berkata, langkah itu penting termasuk membersihkan tempat air bertakung yang menyebabkan pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes.

Subramaniam berkata, ini bagi mengurangkan kes demam denggi yang dijangka akan meningkat sehingga Ogos disebabkan beberapa faktor seperti perubahan cuaca.

“Jun sampai Ogos nampak peningkatan (kes denggi) dengan perubahan cuaca dan tingkah laku nyamuk bahawa ada kemungkinan kes ini akan naik.

“Semasa cuti raya ini ramai orang yang akan balik ke kampung dan sebelum balik bersihkan rumah serta jangan tinggal bekas yang boleh air bertakung dan contohnya ada baldi, terbalikkan ia.

“Perkara-perkara kecil seperti ini kena lihat,” katanya kepada pemberita di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.

Jumlah kes demam denggi pada minggu ke-24 meningkat sehingga 1823 menjadikan ia jumlah tertinggi dalam tahun ini.

Katanya lagi, sekiranya rakyat di negara ini mahu menyimpan air, mereka hendaklah memasukkan ubat untuk membunuh jentik-jentik yang boleh didapati di farmasi.

Umat Islam di negara ini akan beraya pada Rabu minggu depan dan sebilangan besar akan meninggalkan rumah masing-masing dan beraya di kampung halaman masing-masing.

 

Lihat Komen
ADS