Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng suruh saya kuat semangat, pastikan P Pinang kukuh - Chow
Diterbitkan:  Jun 29, 2016 9:19 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

"Pesanan Lim Guan Eng kepada saya adalah menguatkan semangat menghadapi krisis politik ini dan memastikan parti dan kerajaan negeri tetap kukuh," demikian dedah Chow Kon Yeow ekoran penahanan ketua menteri Pulau Pinang itu petang tadi.

Sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai bermotifkan politik demi mematikan kerjaya politik Guan Eng, Chow yang merupakan pengerusi DAP Pulau Pinang menambah, pihaknya akan bermesyuarat esok.

"DAP akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa negeri tergempar esok dan sementara itu, meminta semua penyokong agar bertenang dan menunggu arahan parti selanjutnya," jelas Chow lagi.

Sementara itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman menegaskan parti itu memberi sokongan dan dokongan kepada kepimpinan Lim Guan Eng, justeru, akan terus berdiri teguh di belakang beliau.

"Sejak dari awal lagi serang demi serangan dilancarkan kepada Guan Eng mengenai isu banglow tersebut.

"Media arus perdana tidak terlepas memainkan isu tersebut hari demi hari seolah-olah mengambarkan pemerintah begitu tekad sekali dengan kes ini," katanya dalam kenyataan.

PKR Pulau Pinang berharap dan percaya sistem yang bebas tanpa pengaruh dan cengkaman politik akan mampu memberikan jaminan keadilan pada semua.

Pada masa yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyatakan kelegaan ekoran penahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas Guan Eng.

Abdul Rahman dan Guan Eng sering bertikam lidah sejak kebelakangan ini dalam pelbagai isu sehingga mahu berdebat di kaca televisyen.

"Jelas sekali, slogan DAP sebagai parti politik yang paling bersih di Malaysia adalah tidak benar sama sekali selepas penahanan Guan Eng hari ini.

"Ketelusan dan akauntabiliti harus diamalkan, bukan sekadar di bibir sahaja," katanya dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS