Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siti Hasmah sedih Najib, Umno hina Dr Mahathir
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 12:30 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Isteri bekas perdana menteri keempat, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengakui beliau terkesan dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno lain terhadap suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau kini tidak mampu melakukan apa-apa kerana Najib terlalu berkuasa dan hanya berserah kepada Allah, lapor Sinar Harian.

“Kita tak boleh buat apa, mereka berkuasa sangat, serah saja kepada Allah. Mungkin ada hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku.

“Saya tahu suami saya (Dr Mahathir) kecewa dan sedih jadi tunggu saja, serah kepada Allah. Tak pe lah.. orang tu terlalu berkuasa, kita tak boleh buat apa,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Menurut Siti Hasmah, tidak ada apa yang boleh dilakukan terhadap ‘lawannya’ walaupun Mahathir pernah menerajui negara dan Umno selama 22 tahun namun jasa bekas perdana menteri itu tidak dihargai oleh parti termasuk segelintir rakyat di negara ini.

Beliau yang berkongsi dugaan perjuangan yang dihadapi suaminya, mengakui turut terkesan dengan kata-kata nista dan tindakan oleh pimpinan negara ketika ini.

“Sebagai isteri kepada Mahathir, saya mengaku serangan dan perbuatan mereka terhadap beliau sangat memberi kesan tapi saya tak tunjuk, tak nak beliau bertambah risau.

“Sebab itu saya memilih untuk sentiasa bersamanya setiap masa dan menghormati perjuangannya yang masih belum selesai.

“Kadang-kadang saya kasihan mengenangkan nasib beliau yang diperlakukan sedemikian rupa,” katanya.

Paling menyedihkan...

Siti Hasmah yang juga doktor wanita Melayu pertama Malaysia bakal menginjak usia 90 tahun pada 20 Julai ini menyifatkan tindakan Najib terhadap Mahathir sebagai ‘tidak baik’ kerana hubungan keluarga mereka sangat erat sebelum ini.

“Keluarga kami sangat rapat, ayah Najib, Tun Razak itu belajar satu sekolah dengan abang saya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), jadi kami dah lama kenal.

“Tapi dengan apa yang terjadi akhir-akhir ini, benar-benar membuatkan saya sedih. Malah saya sendiri berkawan rapat dengan Tun Suhailah dan juga Tun Rahah,” katanya.

Siti Hasmah berkata, perkara yang paling menyedihkan apabila Mahathir tidak lagi menerajui Proton Holdings kerana syarikat itu menyimpan nilai sentimental kerana dibangunkan suaminya bermula dari kosong sehingga gah seperti sekarang.

“Cara dan tindakan Najib terhadap Mahathir itu kelihatan sangat tidak baik, saya dapat rasakan perasaan suami saya tapi apa boleh buat,” katanya.

Siti Hasmah berkata dirinya, bukanlah seorang ahli politik malah ketika menjadi isteri perdana menteri, suaminya hanya mendaftarkan beliau sekadar ahli Umno sahaja.

“Kepada anak-anak, saya cuma nasihatkan mereka sekiranya terjun ke bidang politik, perkara utama yang perlu dilakukan ialah berhati-hati dan menyantuni rakyat di peringkat akar umbi kerana dari situlah seseorang pemimpin politik mendapat sokongan,” katanya.

Lihat Komen
ADS