Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Sabah belum terima sebarang surat letak jawatan
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 3:42 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Badan Perhubungan Umno Sabah belum menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada mana-mana pihak termasuk mereka yang telah mengisytihar keluar parti di Semporna, kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Yahya Hussin.

"Peletakan jawatan itu kita dengar begitu sahaja dan setakat ini surat peletakan jawatan belum ada sampai ke tangan kami di pejabat Badan Perhubungan Umno Sabah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kuih muih
Aidilfitri kepada anggota keselamatan di Putatan hari ini.

Sehubungan itu, Yahya turut memberi peringatan kepada anggota Umno negeri supaya bertenang dan tidak terikut-ikut dengan mereka yang membuat tindakan berlainan daripada konsep Umno iaitu taat dan setia berkhidmat kepada parti.

"Saya ingin menasihatkan anggota Umno negeri agar bertenang dan memberi perhatian kepada arahan selanjutnya dari pucuk pimpinan parti," katanya.

Timbalan ketua menteri itu juga berkata mana-mana anggota Umno yang terlanjur melakukan tindakan tidak sewajarnya masih ada masa dan peluang untuk berfikir sekali gus menyatakan kesetiaan dan kembali kepada perjuangan asal.

Dalam pada itu, beliau berkata setiap anggota Umno harus akur kepada setiap keputusan pucuk pimpinan dan Majlis Tertinggi Umno yang dipilih sekali gus diberi kepercayaan oleh anggota Umno sendiri untuk mengurus tadbir parti.

"Apabila mereka membuat keputusan seperti memecat, menggantungkan keanggotaan atau mengambil tindakan disiplin lain, kita semua (perlu) memberi sokongan untuk memastikan perjuangan parti itu tidak dikotori dan tidak disalahgunakan," katanya.

Mengenai majlis pada hari ini, Yahya berkata sumbangan itu adalah sebagai tanda terima kasih dan penghargaan daripada rakyat kepada anggota keselamatan yang bertugas pada musim perayaan untuk memastikan keselamatan negeri terjamin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS