Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadar penembusan jalur lebar kebangsaan capai 77.3%
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 5:11 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Kadar penembusan jalur lebar kebangsaan mencapai 77.3 peratus setakat suku keempat tahun lepas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau mengaitkan pencapaian itu dengan komitmen serta usaha kerajaan untuk menyediakan jalur lebar di seluruh negara sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk meningkatkan daya saing negara, di samping memacu Malaysia menuju era digital.

Salleh berkata kerajaan juga giat menggalakkan penggunaan komunikasi dan multimedia bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi dan pembangunan serta merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar.

"Pada Mac 2010, kerajaan melaksanakan Strategi Pelaksanaan Jalur Lebar Kebangsaan...strategi ini melibatkan usaha menangani aspek bekalan dan permintaan bagi jalur lebar.

"Untuk menangani aspek bekalan, infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar disediakan di seluruh negara melalui penyampaian perkhidmatan secara ketersambungan menggunakan wayar dan tanpa wayar, manakala inisiatif Peruntukan Perkhidmatan Universal digunakan untuk meluaskan lagi liputan jalur lebar dan selular sedia ada," katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan baharu Yes 4G LTE di ibunegara hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif YTL Corporation Berhad Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay dan Pengarah Urusan YTL Corporation Berhad, yang juga Pengerusi Eksekutif YTL Communications Sdn Bhd, Tan Sri Dr Francis Yeoh.

Salleh berkata kerajaan memang bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk memastikan kejayaan rancangan itu, menyediakan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi melalui Projek HSBB dan Jalur Lebar Untuk Masyarakat Umum (BBGP) dan projek Jalur Lebar Subbandar (SUBB).

"Masyarakat luar bandar mendapat manfaat daripada Program Kampung Tanpa Wayar dan WiFi 1Malaysia. Bagaimanapun, masih terdapat sesetengah tempat di negara ini, khususnya di luar bandar dan pedalaman, yang tidak mempunyai akses Internet.

"Kelajuan masih menjadi isu, manakala kos peranti mudah alih dan pelanperkhidmatan hari ini, walaupun semakin berkurangan, tetapi masih dianggap agak mahal oleh sesetengah segmen ekonomi," katanya.

Salleh berkata kementerian itu komited terhadap usahanya untuk memastikan semua rakyat Malaysia dapat menikmati liputan Internet pada kadar lebih murah, pantas dan meluas, bukan hanya yang tinggal di bandar, malah di luar bandar juga.

-Bernama

Lihat Komen
ADS