Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah: Mahkamah tolak rayuan dua bekas kakitangan Tabung Haji
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 6:21 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Dua bekas kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) terpaksa menyambut Aidilfitri di sebalik tirai besi selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan hukuman penjara dan denda atas kesalahan menerima rasuah menolong 27 jemaah haji yang tidak layak menunaikan haji, mengerjakan ibadah itu pada 2010.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan kerani TH Roslan Mohamed Som, 51, dan jurunalisisi sistem Jabatan Teknoklogi Maklumat TH Afizul Md Yasin, 38, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 2014.

Dalam penghakimannya, Mohamad Shariff berkata Hakim Mahkamah Sesyen Mat Ghani Abdullah tidak terkhilaf atau silap dari segi undang-undang dan fakta ketika mensabit dan menjatuhkan hukuman itu ke atas kedua-dua mereka.

"Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan dan mengekalkan penghakiman hakim Mahkamah Sesyen, saya bersetuju bahawa perayu satu dan dua bersalah, dengan ini hukuman hakim Mahkamah Sesyen dikekalkan," kata Mohamad Shariff.

Mohamad Shariff memerintahkan Roslan dan Afizul menjalani hukuman penjara masing-masing empat tahun dan tiga tahun bermula hari ini dan memerintahkan mereka membayar denda RM40,000 dan RM60,000 serta-merta selepas menolak permohonan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Sekiranya mereka gagal membayar denda itu, Roslan dan Afizul masing-masing boleh dipenjara 16 bulan dan 24 bulan.

Terdahulu Mohamad Shariff menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Hanif Hassan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dengan alasan kedua-dua perayu akan menyambut Aidilfitri.

Mahkamah turut menolak permohonan mereka untuk membuat pembayaran denda secara ansuran.

Pada 4 Mei 2014, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM40,000 ke atas Roslan selepas didapati bersalah menerima rasuah menolong 27 jemaah haji yang tidak layak menunaikan haji, mengerjakan ibadah itu pada 2010.

Dia yang bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Tabung Haji, dituduh menerima wang itu daripada perantara, Samsudin Ibrahim di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini antara jam 3.30 petang dan 4 petang 15 Julai 2010.

Roslan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Sementara Afizul dipenjara tiga tahun dan denda RM60,000 oleh mahkamah sama selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan membuat capaian ke pangkalan data TH dan memasukkan rekod nama 27 jemaah haji menggunakan program komputer, tanpa kuasa yang perbuatan itu akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan pangkalan sistem haji TH.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 13, Jabatan Teknologi Maklumat, Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji di sini antara 10.55 pagi dan 11.10 malam, pada Jun dan Julai 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azah Kasran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS