Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Didenda RM2,000 kerana ugut bunuh isteri, anak

Gara-gara mengugut membunuh isteri dan anaknya, seorang peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap N. Mahandran, 51, selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan terhadap anak perempuannya, M. Shankeri, 17, dan isterinya, V. Premala, 41, dengan menggunakan dua bilah parang.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahandran didakwa melakukan kesalahan itu di Blok A-10-7, PPR Taman Wahyu 1, Taman Beringin, Jinjang Utara pada 1.30 pagi, semalam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, tertuduh yang dipercayai mabuk tiba-tiba mengamuk, mengambil dua bilah parang dan mengugut untuk membunuh kedua-dua mangsa.

Kedua-dua wanita itu bertindak melarikan diri dan mengunci diri di dalam bilik dan tertuduh yang berang dengan tindakan itu telah menetak pintu bilik tersebut namun gagal masuk ke dalam bilik.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainol Anwar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mahandran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dikenakan dalam bentuk denda yang ringan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS