Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA mempersoalkan mengapa Malaysia Airlines (MAS) masih terus melantik warga asing sebagai peneraju syarikat penerbangan negara itu.

“Saya amat terkejut dengan CEO baru yang menggantikan (Christoph) Mueller juga mat salih walaupun ramai di kalangan tokoh-tokoh tempatan memberi pandangan merayu supaya dilantik anak tempatan,” kata Presiden PERKASA, Datuk Seri Ibrahim Ali kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas tindakan MAS yang akan menamakan ketua pegawai operasi dan bekas eksekutif Ryanair, Peter Bellew, sebagai ketua eksekutif baru untuk menggantikan Mueller.

Mueller akan meninggalkan syarikat itu September ini selepas bertugas hanya setahun. Beliau sebelum ini memikul tugas
berat memulihkan MAS yang terjejas, terutama selepas kehilangan MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014.

Menjawab soalan Malaysiakini, Ibrahim mendakwa pemilihan Bellew menunjukkan Khazanah dan kerajaan nampaknya sudah tidak percaya dengan kebolehan rakyat Malaysia.

“Kalau anak tempatan dilantik, dia ada semangat nasionalis, ada semangat kebangsaan. Mat salih tak faham perasaan
anak tempatan.

“Selepas lantik mat salih yang gagal (Mueller) dan lantik lagi (Bellew), maknanya terus berulang kegagalan itu.

“Nampaknya kerajaan bukan sahaja tak percaya pada orang Melayu tetapi pada rakyat Malaysia,” kesalnya.

Pelantikan seorang lagi warga asing mengepalai sebuah syarikat milik negara boleh mencetuskan kontroversi apabila terdapat rakyat Malaysia yang tersinggung dengan kenyataan Mueller di sebuah radio Jerman yang menyebut terdapat pekerja tidur semasa kerja.

Mueller, dianggap pakar pemulihan syarikat, sebelum ini memecat 6,000 kakitangan MAS dalam strategi membawa MAS ke
haluan asal.

Beliau mengumumkan hasrat meninggalkan syarikat itu pada April atas alasan peribadi.

Lihat Komen
ADS