Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Kewangan II yang baru dilantik, Datuk Johari Abdul Ghani menjadikan 1MDB sebagai salah satu keutamaannya, dan berjanji untuk menyelesaikan masalah firma dana pelaburan negara itu secara telus.

Katanya, beliau akan mencuba yang terbaik untuk menyelesaikannya secara profesional dan telus dan bergerak ke hadapan untuk membangunkan negara.

"Mulai sekarang dan pada masa akan datang, kita akan mengukuhkan tadbir urus yang baik dalam kerajaan dan memastikan semak dan imbang dalam semua pelaburan kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga berjanji bahawa kerajaan akan menangani isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB.

"Apa yang telah dibangkitkan dalam laporan PAC - apa sahaja atau sesiapa yang menyebabkan (masalah dalam) 1MDB - pasti tindakan akan diambil," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat berjanji bahawa dana awam tidak akan digunakan untuk menyelesaikan masalah 1MDB.

"Pada dasarnya saya tidak boleh memberikan jaminan. Pada akhirnya, kita akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikannya tanpa menyentuh apa-apa daripada kerajaan."

Johari berkata, inilah sebabnya mengapa kerajaan berharap projek-projek 1MDB, Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia, akan pulih nilainya apabila ia dimajukan.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum ini berkata beliau percaya rakyat akan terpaksa membayar bagi salah urus 1MDB, selepas International Petroleum Investment Company dari Abu Dhabi memfailkan tuntutan timbang tara terhadapnya untuk AS$6.5 bilion.

Ahli Parlimen penggal pertama Titiwangsa itu mengejutkan banyak pihak apabila beliau dilantik sebagai menteri penuh, tidak sampai setahun selepas dilantik sebagai timbalan menteri kewangan pada 28 Julai 2015.

Johari juga mendedahkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga menteri kewangan, tidak secara peribadi memberikan taklimatnya kepadanya mengenai 1MDB menjelang perlantikannya.

"Malah, pelantikan saya datang sebagai satu kejutan kepada saya kerana saya hanya tahu (mengenainya) pada hari pengumuman itu," katanya.

Walaupun beliau mengakui masalah 1MDB adalah disebabkan oleh model perniagaan yang salah, pengurusan dan tadbir urus yang lemah, ahli perniagaan yang kini menjadi ahli politik itu, mempertahankan keperluan untuk dana strategik.

Beliau menyamakan 1MDB kepada kontroversi Perwaja Steel, usaha sama antara Heavy Industries Corporation milik kerajaan dan syarikat Jepun Nippon Steel Corporation pada tahun 1982.

"Saya rasa kita perlu menyelesaikan masalah di hadapan kita ini, sama seperti (kerugian) RM30 bilion forex (Bank Negara) dan Perwaja.

"Perwaja adalah (pelaburan) strategik tetapi malangnya model perniagaan tidak dapat dikekalkan, itulah sebabnya Perwaja mengalami kerugian RM10 bilion.

"Begitu juga dengan 1MDB, idea (kerajaan) adalah untuk menubuhkan sebuah syarikat strategik untuk membangunkan tanah yang tidak digunakan. Dan, sepanjang jalan itu kita menyimpang dari apa yang sepatutnya dan ia bertukar menjadi sebuah entiti pelaburan," katanya.

Johari berkata pelaburan strategik tidak semestinya menguntungkan, dengan memetik projek MRT sebagai contoh.

Beliau juga menafikan bahawa kerajaan akan membubarkan 1MDB, sebagaimana yang telah dilaporkan secara meluas berikutan pembubaran lembaga penasihat 1MDB. Bagaimanapun, kebanyakan aset dana bermasalah itu telah pun diambil alih oleh Kementerian Kewangan.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS