Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebuh raya utama dijangka sesak petang ini
Diterbitkan:  Jul 1, 2016 2:44 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar pada pukul 8 pagi ini, namun dijangka meningkat pada petang nanti.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 masih lagi terkawal.

"Aliran trafik dijangka bertambah pada petang ini berikutan peningkatan jumlah warga kota meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, beberapa kawasan di LPT dijangka mengalami kesesakan dengan trafik bergerak perlahan petang ini di lebuh raya itu.

Trafik dijangka bergerak perlahan dari Slim River menuju ke Sungkai, Plaza Tol Gombak ke pantai timur dan dari Tol Duta menghala ke utara," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara Selatan Bhd berkata aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan masih lancar pagi ini dan dijangka akan bertambah secara beransur-ansur.

"Terdapat satu kemalangan berlaku di Kilometer 19.3 dari Kota Damansara menuju ke Damansara pada 8 pagi tadi menyebabkan trafik perlahan dan kerja mengalihkan kenderaan telah dilakukan," katanya.

Sementara itu, aliran trafik di Plaza Tol Gombak menuju ke arah timur dilapor mulai bergerak perlahan setakat tengah hari ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kebanyakan aliran di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 di kedua-dua arah bergerak lancar.

"Namun aliran trafik juga dilaporkan perlahan dari arah Permatang Pauh menuju ke Perai setakat ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, aliran trafik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) turut dilapor bergerak lancar.

Menurut jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd, keadaan di kedua-dua arah utara dan selatan adalah terkawal.

Bagaimanapun, katanya, kenderaan bergerak perlahan selepas Terowong Menora menuju ke arah Hentian Sungai Perak berikutan berlakunya kebakaran belukar di KM256.7 yang menyebabkan pandangan pemandu menjadi kabur.

"Aliran trafik juga perlahan di Sedenak menghala ke Simpang Renggam berikutan berlakunya kemalangan kereta di KM54.1 dan kerja mengalihkan kenderaan sedang dilakukan," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

- Bernama

Lihat Komen
ADS