Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar: Penyakit mental dijangka kedua tertinggi dihidapi rakyat M'sia pada 2020
Diterbitkan:  Jul 1, 2016 3:59 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Penyakit mental dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi yang dihidapi oleh rakyat Malaysia selepas penyakit jantung pada tahun 2020, kata Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Dr Ruzita Jamaluddin.

Beliau berkata laporan statistik mengenai penyakit itu sangat membimbangkan yang pada tahun 2008, kira-kira 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan.

"Malah jumlah itu terus meningkat di mana sebanyak 2,000 kes baru schizophrenia dilaporkan setiap tahun. Lebih membimbangkan apabila jumlah ini berkemungkinan tidak menggambarkan bilangan sebenar.

"Masalah ini bertambah rumit apabila kurangnya pengetahuan berkaitan bahaya penyakit ini dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai yang memilih untuk tidak mendapatkan sebarang rawatan atau hanya merawat secara tradisional,"
katanya.

Dr Ruzita berkata demikian semasa menyampaikan ceramah bertajuk ‘Menangani stigma penyakit mental’ di Seminar Kesedaran Minda Sihat Kepada Ketua-ketua Jabatan UniMAP di Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra hari ini.

Masalah kemurungan dipercayai menjadi punca utama kepada penyakit mental di mana akhir-akhir ini akhbar tempatan kerap melaporkan banyak kes bunuh diri, terjun bangunan, mencederakan diri atau orang lain, kata Dr Ruzita.

"Kemurungan kronik yang antaranya disebabkan oleh tekanan hidup boleh menyebabkan pesakit mengalami halusinasi dan keinginan untuk mencederakan atau membunuh diri, sekiranya tidak dirawat segera," katanya.

Sehubungan itu perkara ini amat memerlukan penglibatan dan peranan masyarakat agar membuang stigma negatif mengenai pesakit mental sebaliknya memberi peluang kepada pesakit untuk berada dalam masyarakat.

"Usah sisihkan mereka kerana mereka ini sakit, tetapi bantu mereka mencari diri mereka dengan bantuan rawatan dan pengambilan ubat yang bersesuaian agar mereka pulih seperti sedia kala," katanya.

Dr Ruzita berkata tindakan menyisih memburukkan lagi keadaan pesakit ke tahap kronik. Penyakit ini mengambil masa beberapa bulan sehingga tiga tahun untuk menunjukkan perubahan dari segi pemikiran, emosi dan tingkah laku pesakit.

"Maka pengesanan awal amat membantu dalam proses pemulihan pesakit di mana jika mereka masih di peringkat awal diagnos, pengambilan ubat dan rawatan yang sewajarnya boleh membantu menyembuhkan mereka," katanya.

Sebagai anggota masyarakat sentiasalah peka dengan perubahan pemikiran, emosi dan tingkah laku antara ahli keluarga, pekerja mahupun pelajar di institusi kita kerana mereka mungkin sedang berlawan dengan penyakit tersebut, kata Dr Ruzita.

"Cuba faham dan ambil tahu mengenai penyakit mental demi kepentingan orang-orang yang tersayang agar mampu membantu pengesanan di peringkat awal (masalah mental) seterusnya rawatan yang sesuai dapat diberikan segera.

"Biasanya keengganan pesakit untuk berjumpa pakar psikiatri atau dikaitkan dengan penyakit mental adalah disebabkan persepsi dan pandangan negatif masyarakat tentang penyakit ini," katanya.

"Apa yang utama perlu dilakukan oleh masyarakat ialah hapuskanlah stigma dan diskriminasi sebaliknya berikan perhatian, kasih sayang, sokongan dan bantuan kapada golongan ini. Memang tidak mudah tetapi ia tidak mustahil," jelas Dr Ruzita.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal dalam ucapan perasmian penutup program berkenaan berpendapat kemajuan teknologi dan kecanggihan telefon pintar antara penyumbang kepada tekanan mental.

"Kecanggihan tersebut menuntut manusia bekerja 24 jam setiap hari kerana maklumat diterima menerusi aplikasi canggih itu memerlukan tindakan dengan kadar segera," katanya yang berharap program itu menambah pengetahuan ketua-ketua
jabatan UniMAP sebagai panduan menangani kesejahteraan mental dan emosi pekerja.

- Bernama

Lihat Komen
ADS