Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buka puasa di gereja diteruskan walau ada laporan polis
Diterbitkan:  Jul 1, 2016 11:30 PM
Dikemaskini: 3:32 PM

Majlis berbuka puasa antara agama anjuran sebuah gereja di Petaling Jaya berlangsung seperti biasa hari ini.

Ia pada mulanya dibatalkan susulan terdapat laporan polis dibuat dan polis memberi amaran kemungkinan tercetus masalah.

“Ada orang buat laporan polis dan dua anggota polis pergi ke gereja secara baik dan jelaskan malam ini mungkin terdapat individu atau kumpulan akan buat masalah,” kata aktivis Syed Azmi Alhabshee.

Syed Azmi sebelum ini pernah terpalit kontroversi kerana menganjurkan acara menyentuh anjing “I want to touch a dog”.

Gereja kemudian membatalkan acara itu. Bagaimanapun, kemudiannya, perkembangan lain berlaku.

Beberapa pengguna Facebook memuat naik status bahawa majlis itu diteruskan walaupun jumlah hadirinnya lebih kecil.

“Di sebalik kebencian dan laporan polis, kami mahu tunjukkan bahawa rakyat Malaysia sebenar yang penyayang masih wujud,” kata Rayyan Haries, antara peserta acara itu.

Seorang peserta Joycelyn Lee berkata seramai 15 orang hadir dalam acara buka puasa itu.

“Tetapi orang ramai tunjukkan sokongan dengan datang dan ambil makanan yang telah ditempah penganjur.

“Mereka tempah 65 bungkus tetapi sokongan bagus dan mereka tambah tempahan,” kata Lee kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, promosi acara itu di Facebook menyebut pihak gereja akan menghidangkan makanan halal dan menyediakan kemudahan sembahyang untuk orang Islam.

Acara itu dianjurkan dengan tujuan mempromosi hubungan baik antara umat Islam dan Kristian di negara ini.

Lihat Komen
ADS