Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan: Lim, Nga kena belajar dari 'Superman DAP'

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming perlu belajar daripada bekas ahli parti itu Hew Kuan Yau yang melepaskan jawatan ekoran kenyataan kontroversinya.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, Hew mengambil tanggungjawab itu selepas mengeluarkan kenyataan bahawa Laut China Selatan yang menjadi pertikaian beberapa negara adalah milik China.

"Mereka berdua (Lim dan Nga) perlu belajar dari Hew yang mengambil tanggungjawab terhadap perkara itu.

"Kami (Gerakan) tidak bersetuju dengan Hew tapi kami rasa DAP perlu belajar perkara itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan hari ini.

Hew yang digelar sebagai 'Superman DAP' sebelum ini melepaskan jawatannya daripada parti itu selepas dibidas teruk kerana mendakwa Laut China Selatan adalah miliki China.

Beliau dikritik kerana didakwa tidak patriotik sedangkan Malaysia sendiri menuntut sebahagian daripada perairan dan wilayah yang dikenali sebagai ‘sembilan-sempang’.

Berbeza dengan Hew, Lim yang berdepan dua tuduhan rasuah masih kekal sebagai ketua menteri Pulau Pinang selepas Exco kerajaan negeri memutuskan beliau tidak perlu meletakkan jawatan.

DAP juga tidak mengambil tindakan terhadap Nga yang didakwa menghina sambutan Aidilfitri baru-baru ini selepas menerima penjelasannya.

Mengulas lanjut, Tan juga menegaskan bahawa dalam DAP, "pemimpin berjawatan kecil" terpaksa meletakkan jawatan manakala "pemimpin besar" dilindungi oleh parti.

"Hanya kes-kes yang melibatkan pemimpin kecil, mereka (DAP) mendesak beliau (pemimpin kecil) meletakkan jawatan, tetapi pemimpin-pemimpin berjawatan besar dalam DAP semua dilindungi.

"Saya rasa ini adalah sesuatu perkara yang kita kena tengok dalam DAP,” tegasnya.

Sementara itu Tan turut mengingatkan bahawa mereka menghormati kebebasan bersuara, DAP perlu lebih sensitif dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Mereka adalah pemimpin sebuah parti politik. Mereka tidak boleh membuat kenyataan sensitif yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS