Paling Popular
Terkini

Berdekad-dekad lamanya rakyat Turki cuba keluar daripada cengkaman tentera.

Walaupun pilihan raya diadakan tetapi tentera senantiasa punya kata putus untuk menentukan siapa menjadi presiden dan siapa menjadi perdana menteri.

Sudah beberapa kali kudeta tentera dilakukan seawal tahun 1960, 1971 dan 1980 dan 1996.

Rampasan kuasa tentera selalu disambut oleh rakyat kerana mereka melihat tentera sebagai pembela dan pelindung Kemalisme yang menjadi ideologi negara sekular Turki.

Kali ini agak berbeza, tentera dilihat sebagai penghalang dan pengkhianat kepada pilihan rakyat.

Sejak AK parti menjadi pemerintah, sememangnya ketegangan hubungan dengan tentera menjadi kebiasaan yang diterima oleh negara.

Namun Erdogan berjaya menjinaki keadaan malah banyak perkara yang dilakukan mencabar status quo budaya Kemalisme dalam ideologi pemerintahan.

Parti AK secara tidak disedari mencabar larangan wanita bertudung ke parlimen apabila isteri Erdogan memasuki parlimen bertudung.

Begitu juga institusi Islam yang selama ini disekat kini menikmati kebebasan.

Kehendak rakyat Turki yang selama ini terputus dengan Islam dan penghayatannya kini tersambung semula dengan parti AK pimpinan Erdogan menguasai parlimen pada tahun 2002.

Progresif dan peduli

Erdogan tidak membawa Islam yang jumud dan sempit kerana jika demikian halnya tidak mungkin ia menikmati sokongan popular rakyat termasuk masyarakat liberal-sekular acuan Kemalisme.

Islam yang dibawa AK parti dikaitkan dengan progresif dan peduli kepada negara dan rakyat, sehinggakan kelompok yang progresif dalam PAS satu ketika dahulu pernah dipanggil 'kelompok Erdogan' kerana sifat keterbukaan mereka.

Pemerintahan Erdogan telah membawa Turki menjadi negara ke-9 ekonomi terkuat dunia.

Perjalanan Turki bukanlah mudah, khusus usahanya selama ini untuk berada dalam kelompok Kesatuan Eropah walaupun dari sudut geografinya sebahagian Turki berada dalam benua Eropah.

Turki turut digeruni kerana ia merupakan kuasa kedua tentera terbesar setelah Amerika dalam Nato.

Peranan Turki semakin menjadi penting untuk mengimbangi kuasa dalam krisis Syria dan dasar Amerika di Timur Tengah.

Turki memperjuangkan nasib pelarian Syria secara konsisten di sebalik berhadapan dengan ancaman IS dan pemberontakan berdarah Kurdis.

Pemerintahan Erdogan dan AK dicurigai oleh musuh-musuh dalam dan luar negeri Turki.

Dia juga dituduh sebagai menutup kebebasan oleh pembangkang khusus selepas pendedahan skandal Erdogan begitu juga dengan tuduhan menghapuskan Kemalisme oleh tentera.

Di luar negara, Eropah dan beberapa kuasa besar begitu ragu terhadap Turki malah secara tidak sedar beberapa mesej berita Barat seolah 'kecewa' kegagalan kudeta tempoh hari.

'Hidup rakyat'

Mereka menggambarkan kegagalan itu sebagai kelemahan tentera dan bukan kekuatan sokongan rakyat terhadap kerajaan kuasa pemerintahan awam Erdogan.

Kudeta tentera gagal menghalang kuasa rakyat yang menjadi aset utama Erdogan dan AK untuk melakukan inisiatif perubahan.

Isu kuasa presiden yang dituntut oleh Erdogan agar lebih berkuasa dan usaha menjinakkan kuasa tentera agar kuasa awam menjadi penentu politik diuji dengan kegagalan kudeta.

Apakah ini bermakna Erdogan semakin berkuasa atau demokrasi rakyat semakin mantap?

Itulah yang dibimbangi Eropah antara ruang kediktatoran dan ruang suara rakyat ketika membuat analisa perkembangan terkini di Turki.

Apapun analisanya, kegagalan rampasan kuasa tentera adalah petunjuk kepada kuasa rakyat.

Saya rasa tidak mungkin ia adalah petunjuk kepada kuasa Erdogan kerana semua pengaruh, termasuk pembangkang kuat Erdogan menyatakan bahawa Turki perlu diselamatkan daripada malapetaka rampasan kuasa awam oleh tentera.

Ini bukan bermakna mereka menyokong Erdogan dan dasarnya.

Jika ini adalah rumusan analisanya maka pengajaran besar dari pengalaman Turki baru-baru ini adalah petunjuk kepada kuasa rakyat lebih kuat dari ancaman kereta kebal dan dentuman jet tempur yang cuba menundukkan kehendak dan keazaman rakyat.

"Hidup Rakyat" bukan sahaja bergema di pentas ceramah tetapi dibuktikan di jalan raya saat negara mengalami krisis rampasan kuasa tentera.


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA anggota parlimen dan naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Lihat Komen
ADS