Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ridhuan Tee: MCA, MIC, Gerakan semua 'ultra kiasu'
Diterbitkan:  Jul 18, 2016 2:59 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Selain DAP, parti-parti komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC dan mereka yang menentang agenda Islam adalah ultra kiasu, kata pensyarah kontroversi, Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau yang baru sahaja keluar dari MCA setelah 16 tahun menjadi ahli seumur hidup parti itu berkata, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR juga jelas sekali kuda tunggangan ultra kiasu.

"Ditakdirkan Umno hilang kuasa, parti mana lagi boleh diharapkan untuk menjaga negara bertuah ini jika bukan PAS.

"Nak harapkan AMANAH dan PKR? Mereka ini jelas sekali kuda tunggangan ultra kiasu. Ultra kiasu adalah DAP, MCA, Gerakan, MIC dan mereka yang menentang agenda Islam," kata beliau dalam satu ruangan kolumnis di Sinar Harian.

Kira-kira dua bulan yang lalu, Ridhuan mengumumkan keluar MCA sebagai tanda protes terhadap penentangan berterusan parti itu ke atas hudud dan tidak mahu menanggung dosa berada dalam parti sedemikian.

MCA antara parti komponen BN yang amat lantang dan konsisten menentang pelaksanaan hudud.

Parti itu malah mengugut keluar daripada kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, bagaimanapun, Ridhuan melahirkan rasa hairan dengan tindakan Umno yang masih bekerjasama dengan MCA, Gerakan dan MIC yang sebenar bergantung kekuatan kepada Umno dan orang Melayu.

"Jika orang Melayu tidak mengundi mereka, sudah lama parti-parti ini bungkus. Kita terus melantik mereka menjadi menteri, memberi ruang dan peluang begitu luas. Sedangkan mereka tidak pernah mengundi kita.

"Bukan tidak ada pilihan. Ada. Lantiklah Cina, India atau Bumiputera bukan Islam, atau zimmi, yang baik-baik menjadi menteri dan ahli Kabinet. Masih ramai," tambahnya.

Sambil memberi amaran bahawa Umno akan keseorangan nanti jika tidak bersama Pas, Ridhuan berkata, dalam BN, hanya Umno sahaja parti yang mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.

"Parti lain hanya menjaga perut mereka. Sampai bila Umno akan terus menjadi kuat jika terus diasak kiri kanan depan belakang?

"Saya amat yakin jika Umno dan Pas berpolitik secara matang, kerusi luar bandar semuanya akan menjadi milik mereka. Kerusi bandar, seperti biasa menjadi milik ultra kiasu. Kita masih boleh menang.

"Apatah lagi dengan sokongan raja-raja Melayu. Bila menang, jalankan pemerintahan secara adil, lantiklah zimmi Cina, India dan Bumiputera yang boleh diharap, seperti Helen Ang dan Lim Sian See, menjaga kepentingan rakyat," tegas beliau.

Pada kolumn yang sama, Ridhuan turut mengaku berasa keseorangan pada masa ini setelah ramai yang takut memberikan sokongan secara terbuka kepadanya.

"Tidak mengapalah. Saya serahkan nasib ini kepada takdir Ilahi. Ya, Allah Taala kuatkanlah semangat ini. Bimbinglah hambamu ini ke jalan yang diredai. Matikan aku dalam iman dan Islam," ujar beliau.

Pada masa yang sama, beliau turut berkongsi pendapat yang dilluahkan oleh Tai Khai Eong dalam blognya yang bersetuju dengan tindakan Ridhuan selama ini menentang ultra kiasu.

Tai memberitahu, kata Ridhuan, apa yang beliau tulis tentang ultra kiasu semuanya betul dan benar belaka.

"Liciknya mereka. Mereka sebenarnya, tidak mahu melihat orang Melayu atau lebih tepat, orang Islam maju. Mereka takut perniagaan dan pendapatan mereka hancur.

"Walaupun saya penyokong kuat parti pemerintah sekarang, tetapi sekiranya parti pemerintah tidak lagi berkuasa, saya mengharap agar Pas lah penggantinya.

"Kalau lain, Islam hancur. Saya, walau bukan Islam, tapi saya faham benar tentang Islam," kata Tai yang dipetik Ridhuan dalam blognya.

Lihat Komen
ADS