Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hishammuddin: Dividen 12 peratus LTAT tepis tuduhan liar

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dividen 12 peratus kepada pencarum Lembaga Tabung Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diumum hari ini sekaligus menepis tuduhan liar terhadap badan itu.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan pemberian dividen berkenaan dan pendapatan LTAT sebanyak RM766.8 juta bagi tahun 2015.

“Bermakna desas-desus atau tuduhan tak berasas berhubung kedudukan LTAT sebelum ini merupakan tuduhan liar yang hari ini dapat kita jawab dengan mengisytiharkan dividen ini,” katanya dalam sidang media pada majlis ramah mesra LTAT bersama menteri pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.

April lalu Ahli Parlimen Pandan Rafizi mendakwa tunggakan 1MDB kepada anak syarikat LTAT, Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia (PPHM) mencecah RM396.41 juta setakat September tahun lalu.

Tunggakan itu, dakwanya, memberi kesan langsung ke atas aliran tunai LTAT sehingga menyebabkan kelewatan membayar gratuiti kepada veteran-veteran askar tak berpencen.

Bagaimanapun, Pengerusi LTAT Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi dengan menyifatkan tuduhannya sebagai 'fitnah dan berniat jahat'.

Dalam ucapannya, Mohd Anwar berkata LTAT telah mencatatkan jumlah pendapatan belum diaudit sebanyak RM766.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Sehubungan itu, ahli-ahli yang layak akan menerima bayaran dividen dan bonus berjumlah RM693.8 juta pada kadar 12 peratus, katanya.

"Bayaran dividen dan bonus itu meliputi dividen 6 peratus dan bonus khas sebanyak 6 peratus dalam bentuk unit amanah saham untuk ahli yang aktif.

"Sepanjang tempoh 43 tahun, purata kadar dividen dan bonus tahunan yang dibayar oleh LTAT ialah 11.3 peratus setahun," katanya.

Setakat 31 Disember 2015, jumlah aset LTAT meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada RM9.4 bilion berbanding RM9.3 bilion pada tahun 2014.

Manakala caruman ahli juga meningkat kepada RM9.1 bilion berbanding RM8.9 bilion tahun lalu, katanya.

Terdahulu Hishammuddin melancarkan Yayasan LTAT yang sebelum ini dikenali dengan nama Yayasan Warisan Perajurit (YWP).

Penukaran nama tersebut bertujuan mewujudkan identiti dan jenama baru bagi yayasan itu di samping memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan sumbangan sosial LTAT.

Lihat Komen
ADS