mk-logo
Berita
Pendakwaan jenayah susuli saman sivil DOJ - peguam AMANAH
Diterbitkan:  Jul 22, 2016 7:07 PM
Dikemaskini: 11:53 AM

Naib Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil menggesa rakyat Malaysia untuk tidak terpedaya dengan dakyah bahawa tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk menyita dan merampas aset lebih AS$1 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB hanya sekadar saman sivil, dan dengan itu bukan perkara serius.

Faiz yang juga seorang peguam, berkata saman pelucutan hak sivil itu hanya tindakan awal mengikut undang-undang Amerika Syarikat, dan pendakwaan jenayah akan menyusul.

Katanya, sesetengah orang mungkin keliru dengan istilah yang digunakan, iaitu mengenai sama sivil atau jenayah.

Faiz berkata, tindakan yang diambil oleh Inisiatif Pemulihan Asset Kleptokrasi adalah untuk mendapatkan semula aset yang diperoleh melalui cara jenayah.

Pemimpin AMANAH itu berkata, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa dan juga menteri yang bertanggung jawab terhadap hal ehwal undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said cuba meremehkan isu berkenaan dengan perkataan "sivil apabila menerangkan tindakan di Amerika Syarikat itu.

Faiz, yang juga adalah anak kepada Presiden PAS, Allahyarham Fadzil Noor, ditanya sama ada tindakan berkenaan adalah tidak serius seperti yang didakwa pemimpin Umno dan mengapa peguam negara Amerika daripada bahagian jenayah yang mengetuai saman itu.

Beliau berkata AS menggunakan undang-undang bertulis iatu Title 18 US Code (USC) yang berkaitan dengan undang-undang jenayah dan undang-undang prosedur jenayah, yang hampir serupa dengan Kanun Keseksaan di Malaysia dan Kanun Tatacara Jenayah.

"Walaupun seksyen yang disebut tersebut adalah 'civil forfeiture' tetapi tindakan yang diambil oleh DOJ adalah tindakan dibawah undang-undang jenayah Amerika Syarikat.

"Adakah rakyat masih lagi boleh ditipu dan diperdayakan dengan cara membodohkan minda rakyat yang tidak celik undang-undang.

"Tindakan 'civil forfeiture' ini adalah tindakan permulaan sebelum tindakan di bawah peruntukan undang-undang jenayah diambil," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau hairan mengapa polis Malaysia tidak menemui sebarang unsur penyalahgunaan sedangkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berjaya mengesannya.

"Bagaimana Peguam Negara USA boleh mendapati ada salahlaku jenayah sedangkan Peguam Negara Malaysia boleh membersihkan PM.

"Perkara yang berlaku ini jelas memalukan negara di mata antarabangsa yang pasti memandang rendah sistem undang-undang dan keadilan negara yang korup," katanya.

Selain itu, menurut Faiz, fakta-fakta yang dibentangkan di dalam saman sivil itu konsisten dengan fakta-fakta penyelewengan 1MDB yang didedahkan selama ini yang mengaitkan penglibatan dan faedah yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, Najib mesti bertanggungjawab kerana skandal terbesar yang telah mencemarkan reputasi negara.

"Ini adalah kerana di bawah Artikel 117 M&A 1MDB, perdana menteri adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB yang meluluskan semua pelaburan antarabangsa yang dimanipulasi untuk diubah dan  disalurkan secara haram kepada beberapa entiti dan pemilikan aset-aset milik keluarga dan kenalan rapat beliau.

"Dakwaan YB Tony Pua yang mengaitkan PM sebagai 'Malaysian Official 1' juga tidak dinafikan. Malahan, kertas kausa civil forfeiture tersebut tidak pula membersihkan nama dan penglibatan Najib.

"Adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia terutama pembayar cukai apabila duit 1MDB yang diubah dan disalurkan secara haram ini dilakukan melalui pakatan bersama untuk kegunaan peribadi seperti beli jet, kapal layar, hartanah, lukisan mahal Van Gogh dan Monet, bayar hutang judi di Las Vegas dan lain-lain lagi.

"Mungkinkah misteri derma RM2.6 billion sebenarnya wang 1MDB yang merupakan wang rakyat dan negara akan terbongkar?" soalnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS