Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mahu diberi peluang untuk bertanding pada pilihan raya negeri Pulau Pinang, dan yakin dapat mencapai prestasi lebih baik, kata presidennya Datuk Seri Mah Siew Kong.

Beliau berkata walaupun secara prinsipnya Gerakan tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan DAP pimpinan Lim Guan Eng mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu namun beliau meramalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tetap akan dibubarkan.

"Saya meramalkan dengan semua 'wayang-wayang', akhirnya (DUN) Pulau Pinang akan dibubarkan dan akan ada pilihan raya di sana.

"Kita banyak pemimpin (Gerakan) di Pulau Pinang yang bangkitkan banyak perkara tapi mereka tidak berada dalam DUN. Saya harap pengundi Pulau Pinang fikirkan dengan baik supaya beri peluang kepada kita," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Gerakan Kedah di Alor Setar hari ini.

Pada Khamis, Lim dalam sidang berita berkata DAP akan memberikan masa kepada PKR untuk berbincang sebelum membuat keputusan berhubung cadangan pilihan raya negeri mengejut itu.

Cadangan mengadakan pilihan raya itu merupakan dua pilihan yang ada, selain satu lagi pilihan iaitu menunggu pilihan raya umum akan datang, sebagai maklum balas kepada dua tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Lim.

Mah berkata tindakan DAP mahu mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu adalah bagi membantu menyelamatkan Lim daripada masalah peribadi yang dihadapinya.

"Banyak yang cakap kita (Gerakan) takut, tetapi sebenarnya tidak kerana secara prinsipnya, kita akan menunjukkan prestasi lebih baik dari dahulu, tidak semestinya kita sokong dengan cadangan itu," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS