Paling Popular
Terkini

BN Pulau Pinang akan bertanding dalam pilihan raya mengejut sekiranya cadangan kerajaan negeri pimpinan DAP itu menjadi kenyataan.

Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata terdapat banyak laporan menyebut tentang kerajaan negeri akan mengadakan pilihan raya mengejut namun masih terlalu awal untuk beliau mengulas mengenainya sehinggalah Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

"Apabila DUN dibubarkan, sesiapa sahaja boleh bertanding dan BN sudah tentu akan bertanding dalam pilihan raya mengejut itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN di George Town hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman; timbalannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; setiausaha MCA negeri Tan Chuan Hong, pengerusi MIC negeri Datuk K Thangavelu, Pengerusi Parti Progresif Penduduk Pulau Pinang Datuk Dr Loga Bala Mohan dan pemangku pengerusi Gerakan negeri Oh Tong Keong.

Rabu lepas, ketua menteri yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberitahu sidang akhbar bahawa DAP akan memberi masa kepada rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PKR dan Parti Amanah Negara) untuk berbincang sebelum membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Teng berkata susulan berita tentang pilihan raya mengejut itu, BN mengadakan mesyuarat pertama parti komponen untuk membincangkannya dan membuat persediaan untuk berdepan sebarang kemungkinan.

"Kami mengadakan mesyuarat untuk berbincang tentang perkara ini dan menilai kesiapsiagaan semua parti komponen," katanya.

Namun begitu beliau enggan menyatakan agenda mesyuarat hari ini, termasuk jumlah kerusi yang akan ditandingi dan pembahagian kerusi.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy sebagai berkata DAP menyenaraikan dua pilihan sebagai respons kepada dua pertuduhan rasuah yang dihadapi Lim.

Pilihan pertama adalah mengadakan pilihan raya mengejut untuk menilai respons rakyat berkaitan tuduhan terhadap Lim, dan kedua, menunggu sehingga pilihan raya umum berikutnya yang bakal diadakan sebelum Ogos 2018.

Lim didakwa di Mahkamah Tinggi pada 30 Jun atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan selain pembelian tanah dan banglo di bawah harga pasaran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS