Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Awang Adek kembali aktif politik hadapi PRU14
Diterbitkan:  Jul 23, 2016 6:14 AM
Dikemaskini: 10:17 PM

Selepas menamatkan tugasnya sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat pada 7 Julai lepas, Datuk Dr Awang Adek Hussin kini kembali aktif dalam arena politik khususnya bagi menguatkan kedudukan Umno Kelantan menghadapi pilihan raya umum Ke-14 (PRU14).

Sepanjang berkhidmat sebagai duta besar selama dua tahun tiga bulan, beliau masih merupakan ketua Umno bahagian Bachok namun jawatan itu dipangku oleh timbalannya Datuk Dr Ilias Hussain.

Awang Adek berkata beliau bertekad meneruskan perjuangannya selagi mendapat sokongan rakyat di peringkat akar umbi terutama di bahagian Bachok.

"Dalam tempoh terdekat ini, saya akan bersama-sama Dr Ilias dan anggota jawatankuasa Umno bahagian Bachok bagi mengatur strategi memperkuatkan parti,"katanya kepada pemberita di majlis sambutan Aidilfitri di kediamannya di Perupok semalam.

Awang Adek berkata Umno bahagian Bachok akan berusaha untuk menawan kembali kerusi Parlimen Bachok dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Jelawat, Perupok dan Tawang yang kini dikuasai oleh PAS.

Ditanya pengalamannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat,beliau berbangga dapat berkhidmat di sebuah negara yang amat berkuasa di dunia sama ada dalam bidang ekonomi, ketenteraan dan kecanggihan teknologi.

"Sepanjang berada di negara itu, saya berusaha merapatkan jurang persefahaman untuk menggalakkan bidang pelaburan dan merapatkan hubungan antara rakyat bagi faedah kedua-dua negara," katanya.

Beliau menerima watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 31 Mac 2014.

- Bernama

Lihat Komen
ADS