Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
P' raya negeri: DAP tunggu kata putus PKR
Diterbitkan:  Jul 23, 2016 3:18 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu sedang menunggu persetujuan daripada PKR berhubung cadangan mengadakan pilihan raya di Pulau Pinang.

Bercakap kepada media hari ini Lim membayangkan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat apabila kedua-dua pihak mencapai persefahaman mengenainya.

"DAP berpendapat kami perlu mengadakan pilihan raya negeri.

"Seperti yang saya katakan ia bukan untuk menyelamatkan Lim Guan Eng. Lim Guan Eng tak boleh diselamatkan.

"Tetapi ia adalah untuk menyelamatkan Malaysia, dan menyelamatkan Pulau Pinang," katanya di George Town, hari ini.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang sedang berdepan pendakwaan kes rasuah di mahkamah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan tuduhan pengezonan semula sebidang tanah pertanian menjadi komersial.

ADUN Air Puteh itu juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn yang dikatakan lebih rendah daripada nilai pasaran.

Penjual banglo itu Phang Li Khoon juga didakwa di mahkamah. Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sendiri mengendalikan kes Lim.

Ada dua pilihan

Menurut Lim dia menjangkakan akan dipenjara selepas disabitkan kesalahan di mahkamah.

"DAP bersikap jelas berhubung isu pilihan raya negeri dan apa yang diperlukan kini adalah persetujuan bersama daripada PKR (serta Parti Amanah Negara).

"Kami mengadakan mesyuarat para Ahad. Kita tunggu pengumuman mengenainya," kata Lim dilapor Bernama selepas majlis perasmian sebuah simposium.

Ditanya sama ada pengumuman pilihan raya akan dibuat Lim berkata ada kemungkinan ia akan dilakukan bagi memberitahu keputusan pihaknya.

Rabu lalu Lim berkata DAP tidak akan membuat keputusan sepihak berhubung cadangan mengadakan pilihan raya negeri sebaliknya terus berbincang dengan rakan sekutu dalam Pakatan Harapan.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy, dilaporkan berkata DAP menyenarai pendek dua pilihan sebagai tindak balas terhadap pertuduhan rasuah ke atas Lim.

Satu daripadanya, kata Ramasamy, adalah mengadakan pilihan raya negeri untuk mengukur sokongan rakyat terhadap pendakwaan berkenaan.

Satu lagi pilihan adalah menunggu pilihan raya umum diputuskan Pusat. Mengikut penggal sekarang pilihan raya umum ke-14 mesti diadakan menjelang Ogos 2018.

DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dengan DAP menguasai 19 daripadanya, manakala 10 lagi dimiliki PKR dan PAS satu. Selebihnya adalah milik BN.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS