Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan menangguk di air keruh'
Diterbitkan:  Jul 23, 2016 4:16 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Wanita Umno mengingatkan sebarang langkah menangguk di air keruh menggunakan kuasa asing untuk menggulingkan kerajaan mungkin membawa kesan seperti dialami Iraq dan Syria.

Ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata kesan daripada tindakan itu bukan saja mengundang konflik malah bakal menyebabkan perang saudara berpajangan.

Dalam kenyataannya berhubung saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) AS terhadap 1MDB, Shahrizat berkata asas utama yang perlu dipegang ialah, seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah.

Katanya, Wanita Umno mengalu-alukan langkah tegas kerajaan untuk terus memberi kerjasama dengan semua pihak dan badan siasatan antarabangsa berhubung isu berkenaan.

Pada masa sama katanya pergerakan itu menolak usaha pihak tertentu yang mahu menangguk di air keruh dengan menggunakan mana-mana kuasa asing untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

"Kesan daripada cara-cara seperti ini tidak akan mampu ditangani seperti yang berlaku ke atas Iraq dan Syria, yang akhirnya bukan saja mengundang konflik bahkan perang saudara berpanjangan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Seruan untuk rakyat Malaysia

Rabu lalu DOJ menyatakan langkah mereka mahu menyita pelbagai aset bernilai AS$731 juta yang didakwa diperoleh melalui dana 1MDB dan wang itu dikatakan mengalir ke akaun bank rasmi seseorang dikenali sebagai 'Malaysian Official 1'.

DOJ menyifatkan tokoh itu sebagai "pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga mempunyai kedudukan berkuasa dalam 1MDB".

Saman sivil itu juga menuntut untuk melucutkan hak sivil pihak terlibat di Los Angeles bagi membolehkan pihak berkuasa AS merampas harta tanah bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) yang berkaitan dengan 1MDB.

Turut dinamakan dalam saman itu ialah anak tiri Najib, Riza Aziz dan hartawan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Sehubungan itu, bekas menteri kabinet itu berkata, Wanita Umno akan terus memberi sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak memandangkan nama perdana menteri tidak disebut dalam saman sivil tersebut.

"Wanita Umno menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan yang telah dipilih secara demokrasi.

"Adalah jelas dalam tindakan sivil berkenaan, nama perdana menteri tidak sama sekali disebut dan hak untuk memberikan keterangan perlu diberikan kepada mereka yang terlibat melalui proses perundangan," katanya.

Lihat Komen
ADS