Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
14 suspek anggota IS ditahan
Diterbitkan:  Jul 23, 2016 6:48 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 14 individu disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas IS.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua individu terbabit ditahan ketika operasi dilancarkan antara 14 hingga 20 Julai lalu di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah dan Sabah.

Menurut Khalid, salah seorang suspek mengaku telah berkomunikasi dengan pengganas IS untuk melakukan serangan di negara ini.

Katanya, suspek yang ditangkap disyaki menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi untuk melancarkan serangan di Malaysia.

Menurut beliau salah seorang suspek turut mengaku berkongsi maklumat mengenai kaedah membuat bahan letupan IED (improvised explosive devide) dengan anggota lain IS melalui aplikasi Telegram.

Malah katanya suspek juga mengakui menerima arahan daripada Muhammad Wanndy untuk menghasilkan IED dan melancarkan serangan di Lembah Klang.

"Bagi tujuan tersebut, Muhammad Wanndy akan membekalkan sepucuk pistol kepada suspek melalui orang perantaraan sebagai persediaan untuk mempertahankan diri sekiranya ditangkap polis.

"Suspek berusia 49 tahun yang ditangkap di Kedah merupakan anggota kanan kumpulan pengganas IS yang aktif merekrut anggota baru melalui usrah-usrah sulit di sekitar Sik, Kedah," kata Khalid dalam kenyataan medianya hari ini.

Muhammad Wanndy merupakan pengganas IS warganegara Malaysia yang berada di Syria. Beliau kini aktif merekrut kader baru di negara ini.

Selain itu, seorang suspek wanita berusia 43 tahun yang ditangkap di Perak pula aktif mempromosikan kumpulan pengganas IS dan merancang menyusup masuk ke selatan Filipina bagi menyertai kumpulan IS dengan bantuan Dr Mahmud Ahmad - anggota IS Malaysia yang kini menyertai kumpulan Abu Sayyaf.

"Hasil penggeledahan pihak polis berjaya merampas satu IED seberat satu kilogram yang telah siap diadun untuk digunakan dalam serangan yang dirancang ke atas pucuk pimpinan PDRM," katanya lagi.

Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawa Bab VIA - kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Lihat Komen
ADS