Paling Popular
Terkini

ULASAN I Ungkapan kafir harbi merupakan istilah fiqah yang membawa konotasi suasana zaman perang di antara wilayah Islam dengan negara musuh di zaman dahulu.

Ia adalah merujuk kepada negara musuh memerangi Muslim, menyebabkan darah mereka halal ditumpahkan kerana ia berlaku dalam suasana perang dan musuh berusaha membunuh umat Islam.

Istilah ini muncul apabila berlaku suasana politik yang mengklasifikasikan antara darul Islam dan darul harb. Setelah berlakunya pembahagian ini, maka golongan bukan Islam juga dibahagikan mengikut pengklasifikasian politik.

Ini bermaksud jika seseorang itu datang dari darul harb, mereka dinamakan kafir harbi. Apabila masuk ke negara Islam dan mendapat perlindungan sementara, mereka dinamakan musta'min.

Bagi yang mendiami negara Islam dan membayar jizyah mereka dikenali sebagai kafir zimmi, manakala individu bukan Muslim dari negara mempunyai hubungan damai dengan darul Islam adalah kafir mua'had.

Konsep pembahagian tersebut secara jelas adalah mengikut konvensyen politik yang ada pada zaman tersebut.

Pandangan ulamak muktabar

Ulamak muktabar kebanyakannya mempunyai pendapat masing-masing berkenaan istilah darul Harb atau darul Islam serta releven atau tidak penggunaan istilah kafir harbi.

Ia dikupas oleh Dr Abdullah Bayyah, Sheikh Muhammad Abu Zahroh, Dr Yusof al-Qaradhawi, Sheikh Wahbah al-Zuhaily dan sebagainya.

Saya tertarik kupasan Dr Maszlee Malik dan Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam kertas kerja mereka bertajuk “Fiqh Muwathanah (Fiqh Kenegaraan): Spektrum Baru Politik Islam Moden” yang dibentangkan pada Nadwah Ulamak Nahdhah.

Mereka mengatakan karya-karya fiqah klasik berkaitan politik, kenegaraan dan hubungan luar banyak hasil karangan ulamak terdahulu dipengaruhi konteks dan keadaan politik semasa.

Muhammad Abu Zahroh membentangkan semula dimensi baru pembahagian negara-negara di dunia mengikut darul Islam dan darul harb.

Beliau - dalam karya ulungnya berkaitan fiqah hubungan luar negara, al-`Alaqat al-Duwaliyah - memberikan pembahagian baru yang selari dengan tuntutan zaman ini yang tidak lagi melihat bahawa negara-negara bukan Islam sebagai darul harb ataupun secara literalnya “negara yang layak diperangi”.

Logiknya, menurut Muhammad Abu Zahroh, pembahagian tersebut didasari kepada dalil berkaitan dengan jihad, sikap umat Islam terhadap musuh, kesetiaan warga Muslim kepada umat dan bumi yang didiaminya dan juga isu kedaulatan tanah air dicorakkan oleh peperangan yang menjadi 'illah (penyebab hukum).

Maka apabila 'illah sesuatu hukum itu tiada, hukum tersebut juga hilang. 'Illah peperangan sebagai asas hubungan di antara negara dan agama yang wujud pada zaman tersebut kini telah tiada.

Maka istilah kafir harbi tidak tepat digunakan untuk konteks Malaysia jika mengikut pandangan ulamak itu tadi.

Aplikasi sesuai konteks semasa

Di dalam kertas kerja sama, penulis juga mengupas tentang pandangan Dr Jasser Audah mengenai isu hampir sama iaitu jizyah.

Beliau menegaskan hukum-hakam berkaitan politik dihasilkan ulamak silam berdasarkan konteks semasa zaman tersebut. Apa yang penting ialah kita perlu memahami konteks sejarah yang membawa kepada terhasilnya hukum tersebut supaya kita tidak bersikap literalis mengaplikasikannya dalam kerangka moden.

Seperti yang kita fahami kafir harbi adalah mereka yang wajib diperangi di peringkat negara atas dasar peperangan. Dan pihak yang berhak mengeluarkan arahan dan perintah adalah pemerintah atau ulil amri, bukannya masyarakat umum.

Pada zaman ini, warga atau rakyat bukan Islam yang tinggal bersama umat Islam di Malaysia tidak dianggap sebagai kafir harbi. Malah pengklasifikasian harbi atau zimmi yang digunakan oleh ulama silam juga diperbaiki oleh ulama moden kerana negara moden mempunyai konsep kewarganegaraan yang memberikan hak dan tanggungjawab saksama antara Muslim dan bukan Islam.

Realiti hari ini, kewarganegaraan bukan lagi dinilai melalui agama seseorang, tetapi kepada kerakyatan dan juga kesetiaan mereka kepada ruang geografi berdaulat tempat mereka tinggal.

Setiap individu yang menjadi warga kepada sesebuah negara mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dengan warga lain.

Ini dapat difahami melalui kupasan fiqah kewarganegaraan. Ikatan kewarganegaraan yang ada menjadikan label kafir harbi itu tidak releven untuk mereka.

Bahkan jika ada yang melakukan penentangan terhadap Islam, mereka tidak digelar kafir harbi, penjenayah yang harus dihukum melalui pelaksanaan undang-undang, disebabkan keterikatan mereka kepada prinsip kewarganegaraan.

Saya tertarik kupasan Dr Maszlee semasa wacana kafir harbi pada 16 Julai lalu.

Ketika ditanya hadirin tentang bagaimana kedudukan orang kafir di Malaysia membuat penentangan atau ejekan kepada Islam (seperti yang dilakukan Alvin Tan yang mempermainkan al-Quran), beliau menjawab, individu tersebut bukan kafir karbi, tetapi penjenayah yang wajar dihukum oleh kuasa undang-undang.

Justeru jelas bahawa istilah berkenaan tidak begitu tepat untuk digunakan kepada golongan bukan Islam di Malaysia.

Tidak dinafikan sebuah istilah wujud dan akan selamanya wujud, tetapi yang menjadi fokus adalah konteks semasa dan kesesuaian ia dengan zaman.

Kita - terutama di Malaysia - perlu berhati-hati dalam penggunaan istilah tersebut. Pengklasifikasian ulamak kontemporari cukup jelas bahawa kafir yang tinggal di sesebuah negara dan menikmati hak dan tanggungjawab dalam negara tersebut adalah warganegara yang terikat dengan undang-undang dan perlembagaan negara.

Perbezaan pendapat tentang topik ini harus diuruskan secara baik dan kita berhak untuk memilih hujah yang paling dekat dengan kebenaran dan sesuai dengan konteks agar tidak disalah ertikan oleh masyarakat umum.

Kesimpulannya, berdasarkan hujah yang dikupas di atas, isu kafir harbi ini dilihat tidak begitu releven untuk digunakan dalam konteks Malaysia dan konotasinya juga akan menimbulkan kebenciaan dan akan membuka pintu keburukan lain.

Tindakan wajar daripada kita - sama ada golongan muda, mahasiswa, agamawan, ahli politik dan sebagainya - adalah mendalami dan memperbanyakkan pembacaan tentang kupasan fiqah semasa seperti fiqah kewarganegaraan, fiqah kontemporari, fiqah jihad dan sebagainya.

Seterusnya kita harus komited melakukan dakwah kepada golongan bukan Islam kerana ia adalah sunnah terbesar ditinggalkan Rasulullah SAW kepada kita. Teruskan menyebarkan dakwah dan rahmah kepada semua!


NIK FATMA AMIRAH NIK MUHAMMAD adalah pelajar sarjana bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa dan aktivis IKRAM Siswa

Lihat Komen
ADS