Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan lawat ladang unta, kata Jamil Khir
Diterbitkan:  Jul 24, 2016 4:07 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Larangan melawat ladang unta sepanjang musim haji kali ini masih dikekalkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya peraturan yang dikuatkuasakan sejak tahun lalu berikutan serangan Virus Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MersCoV) masih diguna pakai sehingga pengumuman baharu dibuat kerajaan Arab Saudi.

"Saya ingin berpesan juga kepada bakal jemaah haji negara ini, jangan ada yang senyap-senyap cuba membuat lawatan...kalau dibenarkan pihak berkuasa Arab Saudi, itu cerita lain.

"Nasihat saya jangan membuat lawatan kerana kesannya bukan seorang, sebaliknya boleh mengakibatkan ramai jemaah lain turut dijangkiti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Konvoi Skuad Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BriSK), di Masjid Jamek Badlishah, Pekan Yan, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi BriSK Wilayah Utara merangkap Pengarah Kolej Komuniti Bayan Baru, Pulau Pinang, Sharihan Shahidan dan Pengarah Kolej Komuniti Jerai, Khairul Anuar Aziz.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamil Khir berkata, Tabung Haji sudah melakukan persediaan rapi termasuk menyediakan pasukan perubatan bagi memberikan perkhidmatan kepada seramai 22,320 jemaah Malaysia sepanjang musim haji tahun ini.

"Penerbangan pertama dijadualkan pada 4 Ogos ini, dan sama seperti tahun sebelum ini Tabung Haji akan membawa pasukan perubatan sendiri. Kerajaan Arab Saudi juga turut memperkemaskan lagi pasukan perubatan mereka di sana," katanya.

Terdahulu, seramai 100 sukarelawan dari kolej komuniti seluruh Kedah, berkumpul bagi melaksanakan program sukarelawan BriSK edisi Jom Cuci Masjid, melibatkan tujuh masjid di daerah ini.

Masjid terlibat adalah Masjid Jamek Badlishah, Masjid Abdul Rahman Putra Al-Haj Yan Kechil, Masjid A-Hannan Teroi, Masjid Kampung Setar, Masjid Al-Muhammadi Kampung Pauh, Masjid Kampung Keda Sungai Udang dan Masjid Kampung Ruat.

Jamil Khir berkata, usaha murni itu wajar dipuji kerana ia akan dapat menanam semangat kesukarelawan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta komuniti setempat, dan pada masa sama berupaya mendekatkan golongan muda dengan masjid.

"Program seperti ini diharap dapat dijalankan secara berterusan. Kepelbagaian program seperti ini dapat menarik penglibatan ramai anak muda bahkan lebih berkesan daripada mengadakan program syarahan atau kuliah agama semata-mata," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS