Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendedahan DOJ AS bukan 'perkara biasa', kata PKR
Diterbitkan:  Jul 24, 2016 4:51 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Menteri Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta anggota kabinet yang lain diminta menghentikan percubaan yang didakwa sebagai terdesak dan memalukan untuk meremehkan isu saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap 1MDB.

Anggota Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya berkata, kenyataan Shabery semalam didakwa sebagai tidak bertanggungjawab dan keterlaluan kerana menganggap bahawa tindakan undang-undang DOJ terhadap syarikat pelaburan itu sebagai "perkara biasa".

"Beliau (Shabery) memaparkan betapa kurangnya rasa prihatinnya terhadap wang pembayar cukai Malaysia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Malah, Latheefa yang juga seorang peguam turut menambah bahawa tindakan yang dibuat DOJ itu merupakan rampasan aset terbesar dalam sejarah di Amerika Syarikat.

"Apa yang beliau dakwa sebagai perkara biasa itu melibatkan pengubahan wang haram pada skala yang besar-besaran yang melibatkan pembelian kapal layar, hotel dan jet, lukisan oleh Van Gogh dan Monet dan juga filem Hollywood!," katanya lagi.

Latheefa juga berkata, adalah menjadi kebimbangan kepada rakyat di negara ini apabila nama 'Malaysian Official 1' disebut dalam saman berkenaan.

Katanya lagi, perkara itu juga menyebabkan kerosakan terhadap reputasi negara serta ekonominya secara besar-besaran.

Semalam, Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata beliau percaya pihak kerajaan akan terus memberikan kerjasama kerana tidak ada apa yang ingin dilindungi dan disembunyikan.

"Apa yang berlaku ini adalah perkara biasa yang terpaksa dilalui dalam urus tadbir negara, malah negara pernah berhadapan dengan situasi yang lebih besar misalnya skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) suatu ketika dahulu," kata anggota parlimen Kemaman itu.

Pada 20 Julai lalu, DOJ mengumumkan tindakan tegas ke atas dakwaan penyelewengan dana 1MDB melalui saman sivil.

DOJ mendakwa bahawa lebih daripada AS$3.5 bilion telah diseleweng daripada 1MDB sepanjang beberapa tahun yang mana ia memberi keuntungan kepada beberapa individu termasuk penjawat awam yang berpangkat tinggi tetapi tidak dinamakan dan hanya digelar sebagai 'Malaysian Official 1'.

Lihat Komen
ADS