Paling Popular
Terkini

Pelakon dan pelawak Adlin Aman Ramlie menafikan ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung siasatan penipuan pelaburan hartanah.

Menurut Adlin, 44, dia percaya dirinya hanya menjadi kambing hitam kepada syarikat yang menggunakan singkatan HGR yang dituduh terbabit dalam kes penipuan terbabit.

Malah, Adlin turut menafikan sekiranya dia terbabit dalam kekerasan semasa tempoh dia disiasat.

"Saya anggap ia hanya kunjungan hari raya apabila ditahan di rumah pada jam 2.30 petang pada 20 Julai lalu.

"Polis menyatakan sebab perlu ikut ke Bukit Aman dan Balai Polis Dang Wangi untuk membantu siasatan kes pelaburan haram penipuan di bawah seksyen 420.

"Saya dibebaskan di bawah jaminan polis selepas ditahan dalam tempoh 24 jam dan akan sentiasa tampil memberi kerjasama kepada polis," katanya.

Adlin ditemui ketika sidang media yang diadakan di Sri Pentas TV3, hari ini.

Kata Adlin, pembabitannya dalam syarikat terbabit hanyalah untuk membuat kemunculan khas apabila tiba sesuatu undangan acara.

"Ya saya memang kenal beberapa individu yang dinamakan sebagai suspek dari pihak syarikat tetapi saya tidak terbabit dalam sebarang pelaburan yang ia kendalikan.

"Gaji saya dibayar berdasarkan tugas saya sebagai pakar motivasi atau artis jemputan sahaja.

"Kerja itu memang saya buat sebagai bidang profesional di beberapa syarikat pemasaran rangkaian (MLM) yang lain," katanya.

Terdahulu, akhbar menyiarkan polis menahan seramai 13 individu lain yang bergelar Datuk Seri dan Datuk yang kini ditahan reman selama 21 hari dalam kes sindiket penipuan terbabit.

Adlin ditahan kerana didakwa menyediakan rumah untuk melindungi dua dalang sindiket itu.

Sehubungan itu, Adlin menjelaskan sidang media berkenaan adalah bagi menghuraikan kekeliruan mengenai kisah itu yang dipaparkan menerusi media sosial.

"Tujuan sidang ini diadakan bagi membetulkan segala cerita mengenai saya yang tidak tepat tetapi telah tersebar dengan meluas di arus media perdana.

"Jangan letakkan saya sebagai orang di tempat pesalah dan mendahului tugas siasatan polis," katanya.

Lihat Komen
ADS