Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS hari ini memberi cadangan kepada Putrajaya supaya membuat permohonan pencelahan (intervener) dalam kes saman sivil Amerika Syarikat terhadap 1MDB.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, sekiranya merasakan mereka tidak bersalah dalam isu tersebut, kerajaan perlu melakukan permohonan berkenaan.

"Saya nak cadang kepada kerajaan dalam kes (Jabatan Kehakiman) DOJ ini. Kalau betul kerajaan ataupun 1MDB rasa mereka tak bersalah, mereka kena masuk dalam kes di Amerika ini sebagai pencelah kerana 1MDB disebut di dalam saman itu.

"Ini bermakna, kerajaan Malaysia mempunyai kepentingan kerana 1MDB 100 peratus dimiliki Kementerian Kewangan.

"Jadi kerajaan Malaysia atau 1MDB mesti memasukkan diri mereka sebagai pencelah dalam saman DOJ sekiranya ada perbicaraan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitiri PERKASA di ibu negara hari ini.

Pada 20 Julai lalu, DOJ mengumumkan tindakan tegas ke atas dakwaan penyelewengan dana 1MDB melalui saman sivil.

DOJ mendakwa bahawa lebih daripada AS$3.5 bilion telah diseleweng daripada 1MDB sepanjang beberapa tahun yang mana ia memberi keuntungan kepada beberapa individu termasuk penjawat awam yang berpangkat tinggi tetapi tidak dinamakan dan hanya digelar sebagai 'Malaysian Official 1'.

Turut dinamakan ialah anak tiri Najib, Riza Aziz serta ahli perniagaan kontroversi Jho Low.

Malah, saman itu juga untuk melucutkan hak sivil di Los Angeles kerana mahu merampas hartanah bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) yang berkaitan dengan 1MDB.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Takiyuddin menambah, PAS bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan sekiranya diadakan pilihan raya negeri (PRN) mengejut di Pulau Pinang.

"Ya, sudah semestinya (menentang Pakatan Harapan). Kita tidak mempunyai pakatan dengan yang lain kecuali PKR," jelasnya.

Ditanya sama ada PAS bersedia untuk melawan PKR sekiranya pilihan raya negeri mengejut diadakan, anggota parlimen Kota Bharu itu hanya berkata:

"Belum putus lagi," katanya.

Sebelum ini, DAP bermesyuarat untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.

Pilihanraya negeri itu dilihat sebagai satu percubaan untuk mengukuhkan semula kedudukan Ketua Menteri Lim Guan Eng ekoran tuduhan rasuah terhadapnya.

Bagaimanapun, pada sidang media minggu lalu, Lim memberitahu tiada pilihan raya mengejut akan diadakan setakat ini tetapi perbincangan mengenainya tetap diteruskan bersama komponen Pakatan Harapan yang lain.

Gabungan tersebut diketuai DAP yang telah berkuasa di Pulau Pinang sejak 2008 dengan Lim sebagai ketua menterinya.

Berikutan pilihan raya negeri 2013, DAP memiliki 19 kerusi, PKR 10 kerusi dan PAS 1 kerusi. BN pula mempunyai 10 kerusi.

Lihat Komen
ADS